Kisah Musafir

Assalamualaikum

semenjak aku mempelajari falsafah, aku kerap berfikir tentang persoalan-persoalan yang selalunya dah berjawab, tetapi aku masih mencari jawapan yang memuaskan hati. Satu jawapan kadang kala tak pernah cukup.

Baru-baru ini, keluarga aku menganjurkan satu trip ke Sabah. Perancangan semenjak tahun lalu, akhirnya kami jadikan sebuah realiti apabila seluruh keluarga aku, kecuali Ayah, Mira dan Mat Arif tak ikut serta. Ada alasan mereka yang tersendiri.


Nabeeha bermanja dengan Papa dia.


Perjalanan kali ini aku kira sangat menarik. Manakan tidak, antara yang membuat jadi menarik adalah apabila ini kali pertama perjalanan beribu kilometer bersama dengan anak-anak buah yang tersayang. Namun, misi aku kali ini untuk mencari satu jawapan mengenai sosio-politik masharakat setempat di Sabah.

Sabah, bagi aku negeri yang makmur. Lihat sahaja statistik jenayah tahunan. Sabah dengan populasi rakyat yang tinggi, epidemiologi serta demografi yang jauh berbeza dengan semenanjung, tetapi mampu menduduki tangga antara 5 Negeri terbaik kadar jenayah di Malaysia. 

Aku masih mencari jawapan kepada berlakunya kurang kadar jenayah di Sabah, sedangkan migrasi warga asing ke Sabah sangat tinggi. 

Sabah juga adalah negeri bersih yang kaya dengan hasil flora dan fauna serta tidak ketinggalan dalam kebersihan alam sekitar. Jika kau pergi ke Poring atau Tagal misalnya, kau boleh lihat di ceruk sungai sewaktu melintasi Jambatan Tamparuli, persekitaran sungai serta air sungainya bersih dan jernih. Bahkan, jika di Tagal, ada perusahaan menternak ikan kelah untuk dijadikan tarikan pelancong. Pertama kali fish sauna menyediakan ikan kelah dan ikan sebarau untuk mengurut pengunjung. Ini sangat rare!



Kebersihan di Sabah, sekakan secara holistik ditekankan keada setiap penduduk. Bayangkan kebersihan persekitaran ini, dijaga sehingga kedalam pasar-pasar yang selalunya kotor dan menjadi pembiakan tikus-tikus bandar. Jika di Pasar Philipine atau sekitar Bazar berdekatan dengan Pasar Philipine sendiri, kebersihan amat terjaga. Setiap gerai menyediakan tong-tong sampah kecil untuk kemudahan pengunjung. Mereka kebanyakan tidak langsung beragama islam, tetapi kebersihan persekitaran mereka lebih baik daripada beberapa tandas masjid di semenanjung.

Sabah semakin buat aku cinta dengan keindahan budayanya apabila, jika di Kota Kinabalu, kau jarang sekali mendengarkan bunyi hon atau makian-makian di jalanan apabila ada pemandu terlewat menggerakkan kenderaan sewaktu lampu trafik bertukar hijau. Bahkan, aku selesa dengan masharakatnya yang peramah. Mereka sangat baik dalam membuat tawar-menawar harga dalam jual beli. Aku tidak jumpa mana-mana orang Sabah yang bersikap ganas atau memaksa pengunjung gerai membeli apa yang mereka jual, malah mereka malah tersenyum jika kita tidak membeli selepas tawar menawar berlaku. Kembali di jalanan raya, jarang sekali berjumpa kereta yang memandu melulu mencilok kesana kemari bajet pemandu kereta lumba.

Setelah 50 tahun lebih Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia untuk merdeka dan setelah habis hasil bumi mereka kita rakyat semenanjung nikmati, aku tetap senang dengan Sabah. Jalannya tidak terlalu sibuk atau stress dengan jammed dan jalan dari Kota Kinabalu ke Kundasang juga tidak seteruk jalan dari Tapah ke Cameron Highland. 

Jika menurut beberapa penduduk yang aku temui dan berbual, jaringan kesihatan di Sabah juga sudah semakin baik. Mereka mungkin kekurangan hospital, tetapi mereka amat berbangga dengan Doktor Heli. Tahap pengetahuan mereka mengenai teknologi dan kesihatan sudah semakin baik, walaupun kebanyakan masharakat di desa kurang peka atau ambil tahu mengenai penyakit-penyakit merbahaya seperti hipertensi, diabetic dan masalah-masalah jantung. 

Dulu, aku pernah bercita-cita untuk ke Sabah dan berbakti untuk masharakat di sana. Kini, cita-cita aku semakin menebal.












Cengkerik

Sejuk,
Nyaman,
Damai,
Tidak mampu mendiamkan hati yang resah.

Nada itu berbunyi lagi,

Merawang gemersik alun nan pekik,
Menikam mematah mencarik merejam racun di tangkai hati yang rapuh,
Jasad busuk comot jijik jauh dari wangi.

Nada itu meninggi,
Menyeru memanggil menggamit rumpun tenang pinggir kolam hati,
Merayu memujuk menahan dari rintih,
Luka terbuka pedih.

Riang tawa sedih duka kecewa juga euphoria nada cengkerik,
Tak ada manusia pernah mengerti bahasa nyanyian mereka.

Bulan Biru

Bulan itu masih biru,
saat sensori pneumotaxic dan apneustic menyambut restu,
helaan kembang dada berlagu,
separa kaku tubuh layu,
hormon pemaksaan elak keserakahan tubuh keletihan,
melatonin bekerja parathyroid beraja.

Tuhan.

Kau izinkan tubuh terjaga saat selimut mendakap manja,
masih lagi sisa nyawa berbaki walau malam semakin sepi,
sayang apa cuba kau beri pada tubuh laknat peminta simpati ini?
cinta apa kau tabur pada sosok hina tidak jujur?
Sehingga setiap hafaz dan lafaz, lena dan jaga, degupan masihku rasa?

Tuhan.

Apakah kau mengharap sayang yang sama dari tubuh laknat pembuat onar?
Apakah kau damba cinta yang serupa dari sosok hina jauh sedar?

Tuhan.

Bulan itu masih biru saat pineal menyeru melepaskan lelah di kamar resah,
Bulan masih biru saatku dendangkan lagu merayu.

Kasih ku damba terus-terusan.
Cinta ku harap terzahir berpanjangan.

Bulan masih biru.
Sedang engkau tetaplah engkau,
Dan aku tetaplah aku.

Dendang ratapan cinta,
bergendang harapan rindu,
Irama tangisan sayang.

Permudahkan lah, Tuhan.

Bulan masih biru.

Generasi Ghuraba'

Islam datang dalam keadaan asing dan kelak nanti akan menjadi asing. Maka beruntunglah mereka yang asing itu.

Bila ada kenyataan yang pelik dari beberapa alim islam, ia seakan asing dari pandangan majoriti islam yang lain. Jadi adakah harus diikuti keterasingan itu?

Imam An-Nawawi berpendapat bahawa Ulama sepakat hukum bunuh kepada orang murtad. Tapi Dr Taha Jabir kata tidak pernah berlaku ijma' dalam hukum bunuh orang murtad.

Harus ikut keterasingan mana?

Sebagai contoh lebih kontemporari, Dr Yusuf Al-Qardhawi ada keluarkan kenyataan dan mengecam shiah. Berbeza pula dengan Haji Hadi yang ada bau-bau membela shiah.

Harus ikut keterasingan yang mana?

Ustaz Fathul Bari ada keluarkan kenyataan isu Mesir. Tapi UFB dibantai pula oleh DrMAZA.

Harus ikut keterasingan mana?

Pergolakan pemikiran Islam terus berlaku apabila masing-masing aliran claim bahawa merekalah yang asing itu.

Tapi barat, cina dan eropah terus menggunakan turats-turats islam demi penerokaan ilmu baru.

Tidakkah mereka juga sebahagian dari keterasingan?

Mungkin Kau Lihat Benci

Mungkin kau lihat benci.

Gembira itu disentap malah ditarik dan dicarik,
Mungkin angkara aku, mungkin angkara kau,
tapi siapa tahu?
Kebenaran itu tidak mutlak selagi ia melibatkan kau dan aku,
atau dia.

Mungkin kau lihat benci.

Seawal hari aku gembira,
Tidak kesampaian petang aku bahagia,
Mungkin salah dia dan kita,
atau mungkin mereka.
Tapi kebenaran itu tidak pernah mutlak selagi melibatkan dia dan kita,
atau mereka.

Sudahlah dengan melihat benci.

Aku, kau, kita, dia dan mereka masih belajar,
Sentiasa salah dan silap menjadi dasar,
Sentiasa mahu di didik,
tapi apakah kita pendidik?
Sentiasa mahu belajar, tapi apakah kita berjiwa pelajar? atau pengajar?

Manusia tidak sempurna,
Doif dan tidak pernah qadim atau mutlak.

Sudahlah melihat benci.

Duhai Bidadari

Berat mata, Berbalam kelam saat terbuka dari pejam, Kau tidak kelihatan sejak sinar mentari tadinya suram,
Dada ku yang sering menjadi bantal tempat kau beradu, terasa kosong tanpa rambut harum mu mengisi,
Sempit sesak tertahan air mata sendu berpuisi, Sunggu aku merasa rindu, Rindu dalam kafi tanpa kocak kedu.

Sayang,

Maunya mimpi ini ku tulis dan lukis, Kelak nanti lakarannya menjadi tebing tanpa hakis, Terjual berjilid cerita nangis.
Lenggok tari pencakmu menghiasi tubir mata,
membungkam hanyut ke lautan mimpi sepi,

mati yang tidak pasti kembali.

Anak Melayu di Hambakan Oleh Melayu

Assalamualaikum

Hidup tidak pernah seperti apa yang kita mahukan.

Fazli adalah seorang anak muda lepasan SPM yang tidak lagi ingin melanjutkan pelajarannya kerana mahu membantu keluarga mencari pendapatan. Dia telah bekerja dengan seorang taukey melayu yang menjalankan perniagaan menguruskan bendang-bendang orang kampung. Syarikat taukey ini memiliki mesin padi sendiri, alat pembajak dan sebagainya.

Fazli bekerja sebagai pemandu mesin padi. Setiap hari, Fazli akan bangun awal dan keluar untuk bekerja sebelum matahari terbit. Dia akan menerima arahan dari taukey melayu tadi untuk menuai hasil padi seperti yang telah diminta oleh pelanggan. Fazli adalah seorang pekerja yang rajin dan tidak suka untuk mencuri tulang apabila sedang bekerja.

Jika Fazli sakit, Fazli tidak akan pernah melayan sakitnya, malah sanggup untuk bekerja walaupun sedang demam kerana takut gajinya akan dipotong. Fazli telah bekerja dengan taukey melayu ini hampir 2 tahun. Gaji yang telah ditetapkan oleh taukey ini kepada Fazli adalah sebanyak Rm600 sebulan. Tetapi, gaji yang Fazli terima setiap bulan hanyalah Rm550 sahaja daripada taukey melayu ini, dengan alasan, Rm50 baki gajinya adalah untuk simpanan. Jika Fazli perlukannya, dia perlu meminta dari taukey melayu ini.

Pernah satu ketika, satu-satunya kenderaan Fazli untuk ke tempat kerja iaitu motosikal Modenas Kriss secondhand yang dibeli sendiri oleh Fazli secara ansuran telah rosak. Fazli amat memerlukan duit untuk membaiki motosikalnya. Fazli telah meminta taukey melayu itu wang simpanan yang telah disimpan semenjak bulan pertama Fazli bekerja. Taukey melayu ini, aku tak pasti dimana tahap kejahilannya tentang motosikal yang perlu di overhaul, telah memberikan Fazli hanya Rm50. Dengan alasan, overhaul moto tak sama dengan overhaul kereta. Kos sebenar yang diperlukan untuk membaiki motosikal Fazli adalah sebanyak Rm450. Fazli akhirnya, terpaksa berhutang dengan taukey bengkel motosikal sebanyak Rm400 dan Fazli berjanji akan membayar sebanyak Rm50 setiap bulan.

Fazli takut untuk lawan taukeynya kerana, taukeynya adalah seorang pencen tentera yang garang dan selalu saja bersikap totalitarian tanpa boleh dibawa berdiskusi.

Raya tahun lalu adalah raya terakhir Fazli bekerja dengan taukey melayu ini. Mana tidaknya, Fazli yang kesempitan wang, mahu membantu adik dan ibunya untuk membeli baju raya dan kelengkapan raya, hanya dibekalkan Rm150 sahaja oleh taukey melayunya itu. Akibat kemarahan yang membuak, Fazli tidak lagi datang kerja sehingga perjalanan syarikat taukeynya tergendala. Taukey melayu bebal ini telah datang ke rumah Fazli dan memaki Fazli seperti hamba abdi dan menyerang ibu Fazli dengan kata-kata nista.

Fazli dituduh penyebab kerugian pada syarikat. Akibat kemarahan yang melampau, Fazli telah menghalau taukey melayu ini dengan parang. Fazli secara rasminya telah berhenti kerja dengan taukey melayu ini.

Setelah 2 tahun bekerja, layanan yang diterima oleh Fazli dari taukeynya hanyalah seperti abdi yang meminta sedekah. Sedangkan, duit simpanan Fazli pada taukeynya sudah lebih dari seribu ringgit tidak pernah dipulangkan oleh taukeynya.

Sepanjang tempoh 2 tahun bekerja, Fazli sebenarnya sudah mahir untuk mengendalikan jentera mesin padi dan jentera pembajak yang lain. Malah, Fazli sudah mahir untuk berbendang!

Satu hari, datang taukey cina menawarkan Fazli kerja. Kerjanya masih sama seperti kerjanya sebelum ini. Mengendalikan mesin padi dan jentera lain. Fazli yang masih fobia menjadi kuli dan dalam masa yang sama memerlukan wang untuk menyara keluarganya, terpaksa juga terima tawaran kerja dari taukey cina ini, walaupun dinasihat rakan-rakan supaya ditolak atas alasan, cina selalu menipu.

Gaji yang diberikan oleh taukey cina ini lebih lumayan. Fazli diupah Rm1200, tidak termasuk elaun makan dan kesihatan. Taukey cina ini, mencadangkan Fazli untuk membuka satu akaun bank khas yang nanti, kad bank dan buku bank itu akan disimpan oleh taukey cina ini. Akaun ini berfungsi untuk menyimpan wang Fazli sebanyak Rm100 setiap bulan yang akan dipotong dari gaji Fazli. Sama seperti yang dilakukan oleh taukey melayu, cuma kali ini, akaun itu adalah atas nama Fazli! Ia ibarat simpanan EPF.

Taukey cina ini sangat pemurah kerana, setiap kali Fazli tidak sihat, maka Fazli akan dibenarkan untuk menerima rawatan yang akan ditanggung sepenuhnya oleh taukey ini.

Selepas setahun bekerja, Fazli telah dibawa oleh taukey cina ini ke satu kedai kereta terpakai. Fazli diminta untuk memilih kereta yang dia mahukan dibawah harga rm20,000. Kereta ini, akan dibelika oleh taukey cina ini untuk Fazli, asalkan Fazli tetap bekerja dengan taukey ini.

Fazli sangat gembira.

Taukey cina ini, boleh dikatakan mengeksploitasi kelebihan yang ada pada Fazli, tetapi dengan cara menjaga kebajikan Fazli. Itu lebih baik dari seorang taukey melayu yang telah menghisap kelebihan Fazli, tanpa memberikan apa-apa manfaat.

*kisah benar!
Blog Widget by LinkWithin