kisah ini tiada kaitan dengan perkahwinan terancang seperti istilah sosial budaya masharakat kita iaitu 'cina buta'. Ia cuma kisah tauladan dari negeri antah berantah.
Sejak dahulu,
kita sering berkata tentang memperkasa,
memperkasa bangsa,
memperkasa intelektual,
memperkasa budaya,
bahkan sehingga kepada ekonomi,
Tapi sayang..
Bangsa kita sendiri sering mengambil kesempatan keatas bangsa sendiri.
Bukan bermakna mengambil kesempatan dan melacurkan kepercayaan kepada bangsa lain itu adalah dibenarkan, tetapi, esensi agama - yang diajarkan semenjak kecil, bahkan dirotan oleh ibu bapa kerana tidak berlaku jujur, dipulaukan rakan-rakan kerana tidak berlaku jujur - sering dilupakan. Hingga sanggup pula memanipulasi rakan, teman atau siapa saja, demi sedikit keuntungan dan merasa gembira yang sementara.
Agenda memperkasakan ekonomi bangsa dan agama, diperkenalkan pula dengan skim, pelaburan, manipulasi matawang, manipulasi nilaian emas dan pelbagai lagi. Malangnya, ia sekadar pelaburan, tanpa sebarang pengeluaran produk. Kalau ada pun pengeluaran produk, ia hanyalah skim cepat kaya melalui sistem MLM - Awak jual barang, untung sikit. Awak cari downline, awak boleh pergi melancong secara percuma - yang ditawarkan. Tiada pun produksi industri kecil dan sederhana yang ditawarkan peluang yang sama, tanpa MLM.
Mungkin akibat kelabu mata apabila melihat kenderaan mewah, rumah mewah serta pelbagai lagi kemewahan yang terhidang didepan mata, menyebabkan segolongan orang yang sering merasakan susah dari kecil - akibat dari tekanan kos sara hidup, adik beradik ramai, bapa kerja kampong dan lain-lain - telah menyebabkan segolongan ini, tanpa mengkaji bagaimana pusingan wang boleh terjadi, bagaimana janaan wang boleh berlaku, margin jualan, margin keuntungan dan lain-lain hal yang penting untuk dipersoalkan dalam mana-mana skim atau program - tanpa segan silu terus saja mahu melaburkan sedikit wang mereka - hasil titik peluh bekerja, bahkan ada yang sanggup meminjam wang dari bank, kononnya akan dibayar semula - kononnya akan dapat keuntungan hasil dari pelaburan.
Akhirnya, mereka terlungkup. Tersungkur. Terduduk. Tersontot. Ternganga terlopong mulut.
Maka mulalah doa dan caci maki berserta ugutan kepada pihak yang menguruskan wang mereka. Padahal, mereka sedar hakikat pelaburan adalah, 'semakin tinggi risiko, semakin besar kadar dapatan pelaburan (ROI)'. Mereka sedar. Tapi, disebabkan mereka seakan rasa diri ditipu - padahal pada awalnya mereka sendiri tidak dipaksa untuk masuk ke dalam skim - mereka telah menghantar kaki pukul, mengugut cincang badan orang sampai lumat dan pelbagai lagi tindakan kelakar.
marah?
memang mereka patut marah. Tapi, sepatutnya mereka sedar. Ianya cuma pelaburan. Pelaburan adalah untung rugi. Kalau untung, gembira tayang kereta dan penyata kewangan. Bila rugi, kenapa tak ditayang sama penyata kewangan yang baki di bank hanya tinggal RM80 untuk sara anak bini sehingga hujung bulan?
kita lupa.
Lama dahulu telah terbuku sebuah tulisan 'Mitos Pribumi Malas' sebuah karya yang memecahkan kekeliruan, penipuan atas anggapan penjajah terhadap bangsa melayu yang dikatakan malas. Bangsa melayu MALAS untuk bekerja dengan kapitalis. Bangsa melayu malas bekerja dibawah kongkongan orang lain. Hakikatnya, bangsa melayu rajin bekerja sendiri, mengeluarkan peluh atas hasil kudrat dan jasad, bangsa melayu bijak dalam berurusniaga, bijak dalam ekonomi, bijak dalam perdagangan. Itu hakikat!
Malangnya, dekad ini, bangsa melayu semakin layu. Bangsa melayu semakin suka mencari jalan mudah mendapatkan keuntungan. Bangsa melayu semakin suka makan gaji. Bangsa melayu semakin lupa hakikat tradisi warisan tentang perniagaan. Tentang simpanan. Tentang erti 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'. Bangsa Melayu semakin lupa tentang 'berjagung-jagung dahulu, sebelum menunggu padi masak'.
Dalam lupa, mereka mula kenal erti 'menahan lukah diperbatasan' dalam tafsiran sempit menindas masharakat yang kian tertindas dibumi sendiri!