Cengkerik

Sejuk,
Nyaman,
Damai,
Tidak mampu mendiamkan hati yang resah.

Nada itu berbunyi lagi,

Merawang gemersik alun nan pekik,
Menikam mematah mencarik merejam racun di tangkai hati yang rapuh,
Jasad busuk comot jijik jauh dari wangi.

Nada itu meninggi,
Menyeru memanggil menggamit rumpun tenang pinggir kolam hati,
Merayu memujuk menahan dari rintih,
Luka terbuka pedih.

Riang tawa sedih duka kecewa juga euphoria nada cengkerik,
Tak ada manusia pernah mengerti bahasa nyanyian mereka.

Bulan Biru

Bulan itu masih biru,
saat sensori pneumotaxic dan apneustic menyambut restu,
helaan kembang dada berlagu,
separa kaku tubuh layu,
hormon pemaksaan elak keserakahan tubuh keletihan,
melatonin bekerja parathyroid beraja.

Tuhan.

Kau izinkan tubuh terjaga saat selimut mendakap manja,
masih lagi sisa nyawa berbaki walau malam semakin sepi,
sayang apa cuba kau beri pada tubuh laknat peminta simpati ini?
cinta apa kau tabur pada sosok hina tidak jujur?
Sehingga setiap hafaz dan lafaz, lena dan jaga, degupan masihku rasa?

Tuhan.

Apakah kau mengharap sayang yang sama dari tubuh laknat pembuat onar?
Apakah kau damba cinta yang serupa dari sosok hina jauh sedar?

Tuhan.

Bulan itu masih biru saat pineal menyeru melepaskan lelah di kamar resah,
Bulan masih biru saatku dendangkan lagu merayu.

Kasih ku damba terus-terusan.
Cinta ku harap terzahir berpanjangan.

Bulan masih biru.
Sedang engkau tetaplah engkau,
Dan aku tetaplah aku.

Dendang ratapan cinta,
bergendang harapan rindu,
Irama tangisan sayang.

Permudahkan lah, Tuhan.

Bulan masih biru.

Generasi Ghuraba'

Islam datang dalam keadaan asing dan kelak nanti akan menjadi asing. Maka beruntunglah mereka yang asing itu.

Bila ada kenyataan yang pelik dari beberapa alim islam, ia seakan asing dari pandangan majoriti islam yang lain. Jadi adakah harus diikuti keterasingan itu?

Imam An-Nawawi berpendapat bahawa Ulama sepakat hukum bunuh kepada orang murtad. Tapi Dr Taha Jabir kata tidak pernah berlaku ijma' dalam hukum bunuh orang murtad.

Harus ikut keterasingan mana?

Sebagai contoh lebih kontemporari, Dr Yusuf Al-Qardhawi ada keluarkan kenyataan dan mengecam shiah. Berbeza pula dengan Haji Hadi yang ada bau-bau membela shiah.

Harus ikut keterasingan yang mana?

Ustaz Fathul Bari ada keluarkan kenyataan isu Mesir. Tapi UFB dibantai pula oleh DrMAZA.

Harus ikut keterasingan mana?

Pergolakan pemikiran Islam terus berlaku apabila masing-masing aliran claim bahawa merekalah yang asing itu.

Tapi barat, cina dan eropah terus menggunakan turats-turats islam demi penerokaan ilmu baru.

Tidakkah mereka juga sebahagian dari keterasingan?

Mungkin Kau Lihat Benci

Mungkin kau lihat benci.

Gembira itu disentap malah ditarik dan dicarik,
Mungkin angkara aku, mungkin angkara kau,
tapi siapa tahu?
Kebenaran itu tidak mutlak selagi ia melibatkan kau dan aku,
atau dia.

Mungkin kau lihat benci.

Seawal hari aku gembira,
Tidak kesampaian petang aku bahagia,
Mungkin salah dia dan kita,
atau mungkin mereka.
Tapi kebenaran itu tidak pernah mutlak selagi melibatkan dia dan kita,
atau mereka.

Sudahlah dengan melihat benci.

Aku, kau, kita, dia dan mereka masih belajar,
Sentiasa salah dan silap menjadi dasar,
Sentiasa mahu di didik,
tapi apakah kita pendidik?
Sentiasa mahu belajar, tapi apakah kita berjiwa pelajar? atau pengajar?

Manusia tidak sempurna,
Doif dan tidak pernah qadim atau mutlak.

Sudahlah melihat benci.
Blog Widget by LinkWithin