Halangan Menulis

Assalamualaikum

Aku suka menulis. Walau aku tahu, tak ada siapa nak baca blog gelap berhantu ni, tapi aku menulis juga. Salah satu kesannya aku menulis ini adalah untuk bercerita mengenai pengalaman aku dan pengajaran yang aku dapat disamping pengalaman. Ya! Kebanyakan adalah idea dan kritikan sosial yang tak berapa nak memajukan fikiran. Tapi, itu lah aku.

Aku suka menulis. Walaupun aku tahu tak ada siapa nak baca blog gelap berhantu ni. Bila aku menulis, aku selalu letakkan eleman perasaan dan perasan bagus dalam penulisan aku. Aku tak rasa kalau ada orang baca, dia akan suka. Tapi aku suka kalau orang tak suka. Aku lebih suka kalau ada orang bersedia mengkritik idea aku dan penulisan aku. Bila ada elemen perasaan, aku suka orang yang membaca seperti berada di tempat aku berada dan merasakan apa juga yang aku rasa masa melalui situasi dan pengalaman. Tapi kalau korang yang membaca tak dapat faham dan meletakkan diri dalam cerita itu, bermakna aku telah gagal. Dan aku suka gagal!

Aku suka menulis. Walaupun aku tahu tak ada siapa nak baca blog gelap berhantu ni. Pun begitu, aku gagahkan jari menulis walaupun seringkali kantoi. Selalunya dah ada idea nak tulis apa dan tentang apa. Samada kritikan, idea baru ataupun pengalaman pelik, tapi bila dah duduk depan lappy, idea tadi hilang entah kemana. Dan selalunya, aku rawat kehilangan idea tu dengan menulis benda pelik sebagai draft. Bila tiba tiba saat menulis benda pelik ni, selalunya idea akan datang. Dan aku terus menulis. Sebab tu kadang kala penulisan aku tah apa apa. Ya! Aku suka kalau jadi tah apa apa!

Aku suka menulis. Walaupun aku tahu tak ada siapa nak baca blog gelap berhantu ni. Semuanya aku pinggirkan ketepi demi untuk menyampaikan matlamat aku menulis. Iaitu memberikan gambaran kehidupan gila gila aku kepada tunang aku. Ya! Kegilaan ini membuatkan aku menjadi aku! Dan aku nak tunang aku kenal dengan aku sehabis kenal. Sampaikan tak ada apa dia nak persoalkan pasal aku sampailah kami diijab kabulkan. InsyaAllah!

Aku suka menulis. Walaupun aku tahu tak ada siapa nak baca blog gelap berhantu ni. Dan setiap kali menulis, aku selalu dapatkan inspirasi dari blog tunang aku. Bila aku baca blog dia, walaupun benda pelik yang dia tulis, saja cinta yang dia tulis, aku baca dengan penuh minat. Sebab aku teringin nak kenal dia sama macam mana aku nak dia kenal aku.

Tapi..

Ibadah Tak Khusuk Kerana Dunia

Assalamualaikum

Aku sedang marah! Ada suara sepertinya mempertikaikan aku. Dan cuba menghasut si dia dengan hasutan yang buruk.

Kerana itu, tiada lagi khusuk dalam solat.

Ya Allah. Jadikan lah dunia ini dalam genggamanku!
Ya Allah. Janganlah kau letakkan dunia ini dalam hatiku!

Buangkan lah dunia dari hatiku!
Andai tidak mampu lagi ia dibuang kerana melekat sebati,
Aku mohon ya Allah. Aku merayu Ya Allah. Aku merayu atas kehambaan aku wahai yang Maha Kuasa.
Berikanlah aku hati yang baru! Aku merayu pada mu ya Rabb. Aku merayu. Aku merayu

:'(

Tawakkal dan Usaha

Assalamualaikum

Dalam mencari jodoh, seharusnya pergantungan itu adalah kepada Allah. Bermula dengan melihat, sehingga akhirnya jatuh minat. Seterusnya kita beristikharah untuk memohon petunjuk dan bantuan dari Allah untuk menentukan jodoh terbaik untuk kita.

Jodoh adalah pertemuan. Apabila kita bertemu seseorang hatta kawan kita sendiri, ia adalah jodoh. Apabila terpisah nya satu pertemuan, ia bukan bererti tiada jodoh, tetapi jodohnya tidak panjang. Ini adalah definisi jodoh menurut aku! bukan menurut sesiapa atau merujuk pada mana mana buku atau kitab.

Apabila satu pasangan itu telah bertunang atau bernikah, ia tidak bererti jodoh mereka akan panjang sehingga ke akhir hayat atau hingga ke syurga. Tetapi ia adalah pertemuan sementara yang telah Allah tetapkan. Sementera bukan bererti hari ini kahwin, esok atau lusa sudah bercerai. Tidak!

Tetapi, ia bersifat sementara. Ia tidak bersifat selamanya. Kerana dalam  quran sendiri menyebut setiap yang bermula pasti akan berakhir. Disebabkan itu, sandaran kasih sayang dan jodoh ini seharusnya mutlak pada Allah. Jika tanpa sandaran, maka saat itu hati kita mula goyah dan kadang kala ada anak muda yang menangis berhari hari bahkan berbulan kerana berakhirnya sebuah pertemuan.

Kita harus yakin berkenaan bermula dan berakhir. Bila keyakinan kita sudah penuh, makanya kita tidak takut akan kehilangan. Sudah tentu perasaan sedih dengan kehilangan ada, tetapi, rasa redha akan hadir secara perlahan dan membuatkan kita berlapang dada dengan satu satu perpisahan.

Benda ni aku ceritakan bukan untuk memutuskan mana mana hubungan, atau menggalakan kan pengakhiran dalam hubungan. Tetapi, haruslah kita sentiasa bersedia dengan perpisahan. Pasti! Aku pasti aku sendiri akan menangis bila putusnya hubungan pertunangan aku. Lebih lagi jika tanpa alasan munasabah dan aku tidak diberikan ruang untuk penjelasan. Pasti aku sendiri akan sedih dan kecewa. Tetapi, insyaAllah, tidak akan berubah hakikat yang rasa redha itu akan hadir.

Usaha adalah tindakan kita dalam menjaga hubungan. Dengan cara apa berusaha? iaitu dengan mengadakan kesefahaman dan memupuk nilai kasih sayang diantara pasangan tidak kira lah perkahwinan, persahabatan atau apa apa pun. Usaha lah juga demi masa depan yang gemilang dengan merancang.

Merancang adalah satu bahagian dari fiqh tawaquq atau fiqh futuristik. Kita bukan sahaja merancang dengan draft. Malah kita juga merancang dengan perlaksanaan. Perlaksanaan harus lah realiti dan matlamat pada hubungan haruslah tepat dengan definisi satu satu hubungan. Kebanyakan orang yang dalam hubungan menjadi gagal untuk menjaga hubungan mereka hungga akhirnya terputusnya satu satu hubungan kerana tiada perancangan dan tiada kesefahaman.

selamat bertawakkal dan berusaha!

Projek Pembodohan

Assalamualaikum

Bagi aku, halangan terhadap hak bersuara orang lain adalah satu kezaliman yang paling besar. Kerana apabila orang sudah dihalang untuk bersuara, mereka sebenarnya telah dihalang untuk berfikir. Akal manusia haruslah dijana untuk bekerja setiap hari supaya manusia itu sendiri tahan dengan ujian dan dugaan.

Akan tetapi, apabila kita telah dihalang untuk bersuara dan juga dihalang untuk berfikir, maka kita sebenarnya sedang menjadikan diri kita bodoh dan tidak mahu berganjak dari kepompong asal yang menjadikan kita jumud dan tidak maju.

Kemajuan adalah dari gerak kerja berfikir yang tidak harus kita batasi. Dan sudah tentu adab berfikir haruslah bersandarkan kepada islam. Dan apabila melewati sandaran kita pada agama, seharusnya tafsiran feqah itu jelas dan tidak jumud kerana islam itu murunah. Kebanyakan kita apabila berfikir tanpa sandaran agama, maka kita seolah olah mendahulukan aqal daripada nas qatie agama. Kalau ini berlaku, amat bahaya terhadap aqidah.

Dalam bab aqidah, sudah tentu huraian panjang adalah perlu dan sangat memerlukan perbahasan yang lanjut. Kerana, dalam bab fiqh, terlalu banyak khilaf dan khilaf juga boleh berlaku dalam bab aqidah. Sudah tentu! Ada berpendapat aqidah tidak boleh berlaku khilaf.

Aku tak berani nak ulas panjang bab tu. Sebab aku sendiri belum cukup mahir berkenaan Ad dururi dan An nazari.

Apa yang cuba aku tekankan adalah berkenaan penyebaran fahaman. Bila kita disekat untuk menyebarkan fahaman, kita akan menyebabkan orang lain yang disekat itu menjadi bodoh dan tidak berani mempersoalkan apa apa pun sedangkan dalam quran, nabi Ibrahim sendiri pada awalnya mempertikaikan atau mempersoalkan bentuk tuhan.

Sebagai contoh, dahulu, fahaman golongan muda telah disekat kemasukannya kedalam negara kita. Sehinggakan diharamkan fahaman tersebut di beberapa negeri di Malaysia kecuali Perlis. Maka, disana lah bertapaknya kumpulan salafi dan menjadi penggerak kepada gerakan salafi yang ada di Malaysia hari ini.

Fahaman salafi akhirnya membiak di seluruh negara kerana orang sudah mula menerima. Bagaimana orang menerima? kerana orang mula mempersoalkan kenapa harus diharam atau disekat? Dan disebabkan sekatan itu, orang mula mencari dan akhirnya mereka menilai dengan aqal yang telah diberikan Allah pada mereka yang akhirnya kebanyakan mereka menerima fahaman tersebut.

Sama juga halnya dengan shiah. Sekarang, apabila fahaman salafi sudah berkembang, mereka yang dahulunya disekat, kini menggunakan pendekatan yang sama untuk menyekat fahaman shiah. Golongan muda yang dahulunya terkedepan dalam aliran pemikiran dan kemodenan, mereka pula menjalankan projek pembodohan. Seperti yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia contohnya Perlis dan Selangor.

Perlis dan Selangor adalah antara negeri yang mengharamkan gerakan shiah. Sedangkan kita ada pentas perbahasan untuk menyampaikan idea dan dari sini, kita biarkan otak manusia yang mendengar untuk menilai. Realitinya tidak begitu apabila mereka mengharamkan gerakan ini dengan alasan untuk menutup pintu kerosakan demi menjaga aqidah umat islam.

Apa yang mereka ini lupa adalah, aqidah adalah sandaran iman kepada Allah. Iman adalah satu sifat bertambah berkurang. Allah boleh memberi iman dan Allah juga boleh menarik semula iman. Tanpa ada sesiapa pun menghalang atau menyekat atau membantah.

Siapa kita manusia yang cuba menjaga iman manusia lain sedangkan mereka ada aqal yang membolehkan mereka berfikir yang mana benar dan yang mana salah. Iman kita sendiri belum tentu kita mampu menjaga, inikan pula nak menjaga iman orang lain. Kerana iman adalah milik Allah.

Apabila mereka menyekat gerakan shiah, mereka menyekat pemikiran orang untuk berkembang. Apabila mereka menyekat pemikiran untuk berkembang, medan ilmu kita jauh ketinggalan dengan negara barat. Bahkan, kita sebenarnya ketinggalan dalam bidang keilmuan berbanding negara shiah. Lihat saja sejarah. Doktor pertama dunia adalah dari fahaman shiah. ya! Ibn Sina adalah seorang shiah. Kerana apa? mereka tidak pernah di sekat dalam bidang keilmuan. Fikir apa yang kau nak fikir dan wajib kau sandarkan pemikiran kepada agama dan iman.

Bukan niat aku nak membela shiah dan aku sendiri menafikan sekeras kerasnya yang aku adalah seorang shiah. Aku cuma tidak mahu aliran pemikiran kita disekat dan hak kita sebagai manusia terbantut. Ini adalah fitrah manusia.

Fitrahnya mahukan kebebasan! adakah kita sudah cukup bebas sedangkan kita disekat untuk mendengar hujjah orang lain dan disekat untuk berfikir? mari hancurkan gerakan pembodohan ini!!
Blog Widget by LinkWithin