Projek Pembodohan

Assalamualaikum

Bagi aku, halangan terhadap hak bersuara orang lain adalah satu kezaliman yang paling besar. Kerana apabila orang sudah dihalang untuk bersuara, mereka sebenarnya telah dihalang untuk berfikir. Akal manusia haruslah dijana untuk bekerja setiap hari supaya manusia itu sendiri tahan dengan ujian dan dugaan.

Akan tetapi, apabila kita telah dihalang untuk bersuara dan juga dihalang untuk berfikir, maka kita sebenarnya sedang menjadikan diri kita bodoh dan tidak mahu berganjak dari kepompong asal yang menjadikan kita jumud dan tidak maju.

Kemajuan adalah dari gerak kerja berfikir yang tidak harus kita batasi. Dan sudah tentu adab berfikir haruslah bersandarkan kepada islam. Dan apabila melewati sandaran kita pada agama, seharusnya tafsiran feqah itu jelas dan tidak jumud kerana islam itu murunah. Kebanyakan kita apabila berfikir tanpa sandaran agama, maka kita seolah olah mendahulukan aqal daripada nas qatie agama. Kalau ini berlaku, amat bahaya terhadap aqidah.

Dalam bab aqidah, sudah tentu huraian panjang adalah perlu dan sangat memerlukan perbahasan yang lanjut. Kerana, dalam bab fiqh, terlalu banyak khilaf dan khilaf juga boleh berlaku dalam bab aqidah. Sudah tentu! Ada berpendapat aqidah tidak boleh berlaku khilaf.

Aku tak berani nak ulas panjang bab tu. Sebab aku sendiri belum cukup mahir berkenaan Ad dururi dan An nazari.

Apa yang cuba aku tekankan adalah berkenaan penyebaran fahaman. Bila kita disekat untuk menyebarkan fahaman, kita akan menyebabkan orang lain yang disekat itu menjadi bodoh dan tidak berani mempersoalkan apa apa pun sedangkan dalam quran, nabi Ibrahim sendiri pada awalnya mempertikaikan atau mempersoalkan bentuk tuhan.

Sebagai contoh, dahulu, fahaman golongan muda telah disekat kemasukannya kedalam negara kita. Sehinggakan diharamkan fahaman tersebut di beberapa negeri di Malaysia kecuali Perlis. Maka, disana lah bertapaknya kumpulan salafi dan menjadi penggerak kepada gerakan salafi yang ada di Malaysia hari ini.

Fahaman salafi akhirnya membiak di seluruh negara kerana orang sudah mula menerima. Bagaimana orang menerima? kerana orang mula mempersoalkan kenapa harus diharam atau disekat? Dan disebabkan sekatan itu, orang mula mencari dan akhirnya mereka menilai dengan aqal yang telah diberikan Allah pada mereka yang akhirnya kebanyakan mereka menerima fahaman tersebut.

Sama juga halnya dengan shiah. Sekarang, apabila fahaman salafi sudah berkembang, mereka yang dahulunya disekat, kini menggunakan pendekatan yang sama untuk menyekat fahaman shiah. Golongan muda yang dahulunya terkedepan dalam aliran pemikiran dan kemodenan, mereka pula menjalankan projek pembodohan. Seperti yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia contohnya Perlis dan Selangor.

Perlis dan Selangor adalah antara negeri yang mengharamkan gerakan shiah. Sedangkan kita ada pentas perbahasan untuk menyampaikan idea dan dari sini, kita biarkan otak manusia yang mendengar untuk menilai. Realitinya tidak begitu apabila mereka mengharamkan gerakan ini dengan alasan untuk menutup pintu kerosakan demi menjaga aqidah umat islam.

Apa yang mereka ini lupa adalah, aqidah adalah sandaran iman kepada Allah. Iman adalah satu sifat bertambah berkurang. Allah boleh memberi iman dan Allah juga boleh menarik semula iman. Tanpa ada sesiapa pun menghalang atau menyekat atau membantah.

Siapa kita manusia yang cuba menjaga iman manusia lain sedangkan mereka ada aqal yang membolehkan mereka berfikir yang mana benar dan yang mana salah. Iman kita sendiri belum tentu kita mampu menjaga, inikan pula nak menjaga iman orang lain. Kerana iman adalah milik Allah.

Apabila mereka menyekat gerakan shiah, mereka menyekat pemikiran orang untuk berkembang. Apabila mereka menyekat pemikiran untuk berkembang, medan ilmu kita jauh ketinggalan dengan negara barat. Bahkan, kita sebenarnya ketinggalan dalam bidang keilmuan berbanding negara shiah. Lihat saja sejarah. Doktor pertama dunia adalah dari fahaman shiah. ya! Ibn Sina adalah seorang shiah. Kerana apa? mereka tidak pernah di sekat dalam bidang keilmuan. Fikir apa yang kau nak fikir dan wajib kau sandarkan pemikiran kepada agama dan iman.

Bukan niat aku nak membela shiah dan aku sendiri menafikan sekeras kerasnya yang aku adalah seorang shiah. Aku cuma tidak mahu aliran pemikiran kita disekat dan hak kita sebagai manusia terbantut. Ini adalah fitrah manusia.

Fitrahnya mahukan kebebasan! adakah kita sudah cukup bebas sedangkan kita disekat untuk mendengar hujjah orang lain dan disekat untuk berfikir? mari hancurkan gerakan pembodohan ini!!

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin