Anak Melayu di Hambakan Oleh Melayu

Assalamualaikum

Hidup tidak pernah seperti apa yang kita mahukan.

Fazli adalah seorang anak muda lepasan SPM yang tidak lagi ingin melanjutkan pelajarannya kerana mahu membantu keluarga mencari pendapatan. Dia telah bekerja dengan seorang taukey melayu yang menjalankan perniagaan menguruskan bendang-bendang orang kampung. Syarikat taukey ini memiliki mesin padi sendiri, alat pembajak dan sebagainya.

Fazli bekerja sebagai pemandu mesin padi. Setiap hari, Fazli akan bangun awal dan keluar untuk bekerja sebelum matahari terbit. Dia akan menerima arahan dari taukey melayu tadi untuk menuai hasil padi seperti yang telah diminta oleh pelanggan. Fazli adalah seorang pekerja yang rajin dan tidak suka untuk mencuri tulang apabila sedang bekerja.

Jika Fazli sakit, Fazli tidak akan pernah melayan sakitnya, malah sanggup untuk bekerja walaupun sedang demam kerana takut gajinya akan dipotong. Fazli telah bekerja dengan taukey melayu ini hampir 2 tahun. Gaji yang telah ditetapkan oleh taukey ini kepada Fazli adalah sebanyak Rm600 sebulan. Tetapi, gaji yang Fazli terima setiap bulan hanyalah Rm550 sahaja daripada taukey melayu ini, dengan alasan, Rm50 baki gajinya adalah untuk simpanan. Jika Fazli perlukannya, dia perlu meminta dari taukey melayu ini.

Pernah satu ketika, satu-satunya kenderaan Fazli untuk ke tempat kerja iaitu motosikal Modenas Kriss secondhand yang dibeli sendiri oleh Fazli secara ansuran telah rosak. Fazli amat memerlukan duit untuk membaiki motosikalnya. Fazli telah meminta taukey melayu itu wang simpanan yang telah disimpan semenjak bulan pertama Fazli bekerja. Taukey melayu ini, aku tak pasti dimana tahap kejahilannya tentang motosikal yang perlu di overhaul, telah memberikan Fazli hanya Rm50. Dengan alasan, overhaul moto tak sama dengan overhaul kereta. Kos sebenar yang diperlukan untuk membaiki motosikal Fazli adalah sebanyak Rm450. Fazli akhirnya, terpaksa berhutang dengan taukey bengkel motosikal sebanyak Rm400 dan Fazli berjanji akan membayar sebanyak Rm50 setiap bulan.

Fazli takut untuk lawan taukeynya kerana, taukeynya adalah seorang pencen tentera yang garang dan selalu saja bersikap totalitarian tanpa boleh dibawa berdiskusi.

Raya tahun lalu adalah raya terakhir Fazli bekerja dengan taukey melayu ini. Mana tidaknya, Fazli yang kesempitan wang, mahu membantu adik dan ibunya untuk membeli baju raya dan kelengkapan raya, hanya dibekalkan Rm150 sahaja oleh taukey melayunya itu. Akibat kemarahan yang membuak, Fazli tidak lagi datang kerja sehingga perjalanan syarikat taukeynya tergendala. Taukey melayu bebal ini telah datang ke rumah Fazli dan memaki Fazli seperti hamba abdi dan menyerang ibu Fazli dengan kata-kata nista.

Fazli dituduh penyebab kerugian pada syarikat. Akibat kemarahan yang melampau, Fazli telah menghalau taukey melayu ini dengan parang. Fazli secara rasminya telah berhenti kerja dengan taukey melayu ini.

Setelah 2 tahun bekerja, layanan yang diterima oleh Fazli dari taukeynya hanyalah seperti abdi yang meminta sedekah. Sedangkan, duit simpanan Fazli pada taukeynya sudah lebih dari seribu ringgit tidak pernah dipulangkan oleh taukeynya.

Sepanjang tempoh 2 tahun bekerja, Fazli sebenarnya sudah mahir untuk mengendalikan jentera mesin padi dan jentera pembajak yang lain. Malah, Fazli sudah mahir untuk berbendang!

Satu hari, datang taukey cina menawarkan Fazli kerja. Kerjanya masih sama seperti kerjanya sebelum ini. Mengendalikan mesin padi dan jentera lain. Fazli yang masih fobia menjadi kuli dan dalam masa yang sama memerlukan wang untuk menyara keluarganya, terpaksa juga terima tawaran kerja dari taukey cina ini, walaupun dinasihat rakan-rakan supaya ditolak atas alasan, cina selalu menipu.

Gaji yang diberikan oleh taukey cina ini lebih lumayan. Fazli diupah Rm1200, tidak termasuk elaun makan dan kesihatan. Taukey cina ini, mencadangkan Fazli untuk membuka satu akaun bank khas yang nanti, kad bank dan buku bank itu akan disimpan oleh taukey cina ini. Akaun ini berfungsi untuk menyimpan wang Fazli sebanyak Rm100 setiap bulan yang akan dipotong dari gaji Fazli. Sama seperti yang dilakukan oleh taukey melayu, cuma kali ini, akaun itu adalah atas nama Fazli! Ia ibarat simpanan EPF.

Taukey cina ini sangat pemurah kerana, setiap kali Fazli tidak sihat, maka Fazli akan dibenarkan untuk menerima rawatan yang akan ditanggung sepenuhnya oleh taukey ini.

Selepas setahun bekerja, Fazli telah dibawa oleh taukey cina ini ke satu kedai kereta terpakai. Fazli diminta untuk memilih kereta yang dia mahukan dibawah harga rm20,000. Kereta ini, akan dibelika oleh taukey cina ini untuk Fazli, asalkan Fazli tetap bekerja dengan taukey ini.

Fazli sangat gembira.

Taukey cina ini, boleh dikatakan mengeksploitasi kelebihan yang ada pada Fazli, tetapi dengan cara menjaga kebajikan Fazli. Itu lebih baik dari seorang taukey melayu yang telah menghisap kelebihan Fazli, tanpa memberikan apa-apa manfaat.

*kisah benar!

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin