Berbual Dengan Abang Zam

Assalamualaikum

Sekarang, aku dah kena kerja di Perlis. Hampir 3 bulan aku hidup di sini. Antara kawan yang mampu buat aku terpegun dengan kata-kata mereka tak ramai. Sedikit. Entahlah.. Mungkin aku terlalu mengharap pada negeri kelahiran aku ini, yang rakyat negerinya bijak pandai semuanya. Entah kenapa aku mengharap macam tu.

Abang Zam adalah senior aku. Dia juga adalah pemilik bersama sebuah bengkel cat kereta yang yang dibuka bersama kawannya. Abang Zam seorang yang peramah, tak lokek nak berkongsi pengalaman hidup samada suka, duka atau kehidupan seksual yang agak keterlaluan kadang-kadang. 

Lebih kurang pada tahun 2005, Abang Zam terkena 'Prolapsed Interveterbral Disc' yang telah menyebabkan dia tidak mampu lagi membuat kerja-kerja berat. Sejak dari dia di diagnose dengan masalah tulang belakang itu, dia telah diberikan tugasan ringan setiap kali kerja iaitu bekerja dalam 'flexi hour' atau bekerja bermula pukul 5 petang sehingga 12 malam. Kerjanya hanyalah membuat secondary triage kepada pesakit-pesakit yang alami masalah sakit ringan yang tidak terlalu cemas keatas nyawa mereka.

Abang Zam kerja flexi hour untuk tempoh yang lama. Jadi, setiap pagi dia sentiasa akan merasa bosan kerana tiada aktiviti yang hendak dilakukan. Kebetulan, Abang Zam ada seorang kawan cina yang membuka bengkel kedai cat kereta di Kangar. Kawannya itu telah mengajak Abang Zam untuk membantunya di bengkel, kerana kebetulan mereka kekurangan pekerja untuk memastikan kerja berjalan lancar dek pertambahan permintaan perkhidmatan cat kereta.

Abang Zam terima dengan gembira tawaran cina tadi. Mungkin kerana dia bosan atau apa, aku tidak pasti. Hampir 3 tahun Abang Zam kerja dengan cina ini. Dari belajar kikis simen tampal untuk diratakan pada dinding kereta, Abang Zam mula mahir mengetuk dinding kereta yang kemek dan menampalnya dengan simen, sehinggalah kepada mahir untuk menyembur cat. Abang Zam tidak pernah merungut untuk bekerja pada sebelah pagi dan bekerja di hospital ada sebelah petang. Abang Zam malah menganggap apa sahaja yang dibuli untuk dibuat ini, pasti ada gunanya nanti.

Pada tahun 2008, Abang Zam sudah mampu menguruskan bengkel cina tadi dengan cemerlang, sehingga pada akhirnya, Abang Zam buat keputusan untuk membuka bengkelnya sendiri. Abang Zam memberitahu cina tadi tentang niatnya dan cina tadi bersetuju, malah 'mencabar' Abang Zam untuk bertanding secara sihat dalam perniagaan. Cina tadi minta Abang Zam buat yang terbaik supaya nanti, bengkel Abang Zam mampu menyamai hebatnya bengkel cina tadi.

Abang Zam memulakan perniagaan bengkel cat kereta bersama kawan rapatnya yang sudi berkongsi modal dan tenaga untuk membuka bengkel tersebut. Bengkel Abang Zam sekarang sudah sebesar gudang dan mempunyai 10 orang pekerja yang diupah melalui komisen atas setiap kerja yang mereka lakukan. Tiada penindasan hak pekerja dalam perkara ini. Abang Zam sendiri sebagai pemilik bengkel, turut sama buat kerja ketuk, simen dan cat untuk membantu pekerjanya.

Satu kata-kata yang aku yakin ia adalah satu peringatan atau nasihat buat anak muda daripada Abang Zam yang buat aku sangat terkesan ialah,

 "Orang muda sekarang, sanggup kerja di kilang buat sarung tangan, kilang elektronik dan lain-lain kerana lebih selesa dan nyaman kerjanya. Tapi, jarang jumpa anak muda yang nak kerja menjadi kuli tukang buat rumah, kuli kedai tayar cina atau kuli bengkel-bengkel kereta. Apa diorang ingat, selepas 5 tahun kerja dengan kilang buat sarung tangan, diorang boleh buka syarikat sarung tangan kah? Kalau diorang kerja dengan tukang buat rumah, kedai tayar dan lain-lain, sekurang-kurangnya, selepas 4-5 tahun, diorang dah boleh buat kerja itu sendiri dengan syarikat sendiri". 

Bagi aku, apa Abang Zam cakap adalah benar. Buktinya, aku sendiri masa selepas zaman SPM, aku rela ikut kakak kerja di kilang Medipro berbanding, minta ayah hantar aku ke kampung untuk aku kerja tukang buat rumah atau paling tidak, kerja di kedai tayar cina walau sebagai kuli. Sebab, kemahiran itu, akhirnya akan jadi milik diri sendiri. 

Allah lebih tahu.

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin