Surat Untuk Anak Siri 1

Assalamualaikum duhai anakku..

Ayahanda baru mahu mula menulis. Mahu satu hari nanti anak ayah baca tulisan-tulisan ini dan menjadi peringatan atau mungkin anak ayah ini boleh abadikan sebagai sebuah kenangan dalam lipatan sejarah. Atau mungkin anak ayah boleh jadikan pedoman dan iktibar.

Ayah bukanlah seorang yang hebat dan bijak. Tapi sepanjang hidup ayah, ayah telah diajar oleh atok kamu untuk tidak berhenti belajar. Sentiasa menggunakan otak. Atau paling penting, sentiasa merendah diri dan tidak menindas orang lain.

Ayah mahu anak ayah tahu, ayah dibesarkan dalam keluarga yang tidak senang. Banyak kesusahan yang keluarga ayah terpaksa lalui. Walaupun kami tahu, bahawa sentiasa ada orang yang lebih susah dari keluarga kami, tapi anak ayah kena tahu, waktu itu kami tidak pernah merasakan lebih susah dari itu.

Anak ayah mungkin boleh rujuk tulisan-tulisan ayah yang lepas. Ayah ada menulis tentang didikan ayah (atok kamu) dan dari sana, mungkin anak ayah boleh dapat sedikit gambaran tentang latar keluarga ayah masa tu. Atok bukanlah pegawai besar. Atok hanya bergantung dengan sedikit gaji untuk membesarkan 6 orang anak. Tapi, dari kalangan kawan-kawan atok, atok adalah antara yang paling bijak. Satu sahaja sebab utama! Atok kamu sangat rajin membaca. Pembacaannya tidak bias, semenjak sewaktu atok kamu aktif dalam Jemaah Islam Malaysia.

Atok kamu mungkin kelihatan seperti seorang yang gila. Tetapi dalam sifat kegilaan itu, otak atok kamu sentiasa bergerak. Pernah satu ketika, Atok kamu ditukarkan tempat kerja di Teluk Intan, Perak. Maka pada waktu itu, ayah lah yang selalu menjadi pemandu kepada Tok Umi kamu untuk ziarah atok di Teluk Intan. Setiap kali selepas habis shift kerja, atok kamu akan ajak ayah untuk pergi mencari serai.

Serai itu ditanam sendiri oleh atok kamu di batas-batas parit atau jalan raya. Sampai pada tempoh matangnya, maka serai itu akan menjadi sebesar sepemeluk dewasa. Waktu itulah serai itu ditebas dan disiang. Buangkan lebihan daunnya dan tinggalkan bahagian tangkainya untuk dijual. Kadang-kala, sepetang boleh dapat sampai 20kg. Hasil usaha atok untuk mencari rezeki lebih demi menampung kehidupan kami sekeluarga.

Serai yang terkumpul itu, nanti lepas maghrib akan dijual. Maka waktu itulah peranan ayah amat penting. Hasil kreativiti  dan mazhab pasaran bebas yang diajar atok, maka ayah tidaklah menjual serai itu di pasar. Tapi ayah membawa serai-serai itu ke kedai-kedai tomyam. Berebut mereka beli.

Kalau tidak salah ayah, waktu itu harga serai di pasar lebih kurang Rm6.90 sekilogram. Tapi, disebabkan ia adalah hasil tanaman sendiri dan kutipan sendiri - tanpa memerlukan peraih yang menjadi orang tengah diantara pasar dan pelanggan - ayah menjual setiap kilo serai pada harga Rm3.00 sekilogram. Maka berebutlah kedai-kedai tomyam itu membeli serai-serai kami. Ceritanya macam mudah. Tapi hakikatnya, berpeluh ketiak, tebalnya muka, malu yang tertimpa, tuhan saja yang tahu.

Nak dijadikan cerita..

Harga pasaran serai semakin merudum disebabkan manipulasi harga yang kami mainkan di kedai-kedai tomyam. Kami menjual murah. Disebabkan itu, kedai-kedai tomyam hanya mahu membeli dengan kami. Tidak lgi mahu membeli dipasar. Maka, harga serai di pasar jatuh teruk. Petani-petani yang makan hasil sampingan dari jual serai kepada peraih, terpaksa mengikat perut, kerana peraih membeli serai mereka dengan harga yang murah.

Kalau tidak silap, peraih membeli harga serai dari orang kampung pada harga rm2.60 setiap kilo. Padahal peraih kemudian menjual serai ini kepada peniaga - tidak kira melayu atau cina - pada harga rm4.00 dan peniaga pula akan menjual sekitar rm4.50 setiap kilo.

Atok kamu dan ayah membaca game peraih ini sebenarnya telah membunuh sumber kewangan orang kampung. Mereka bertindak sebagai orang tengah dan bermodalkan minyak motor atau kereta, kemudiannya makan untung atas angin. Atok kau dan ayah benci kepada golongan pemodal seperti ini.

Maka, atok kamu dan ayah merancang sebuah game. Kami mahu bunuh ekonomi peraih serai ini. Peraih yang tak keluakan peluh, tapi makan untuk yang tinggi.

Atok kamu mengeluarkan modal yang besar. Biar rugi sedikit tidak apa. Yang penting perut orang kampung!

Seingat ayah, kami pula menjadi peraih serai. Malangnya, beberapa kelompok orang kampung telah dihasut untuk tidak menjual serai kepada kami. Tapi, beberapa kelompok lagi mahu menjual kepada kami. Kenapa tidak? kami menawarkan harga yang lebih tinggi dari peraih asal. Kami tawarka harga Rm3.20 setiap kilo. Kami cuma menjual pada harga Rm3.50 sahaja sekilo.

Kalau dikira-kira, kami kerugian pada minyak. Tapi, demi menyelamatkan orang kampung dari terus ditipu, maka kami menjalankan perniagaan serupa ini. Untuk seminggu pertama, memang sakit. Banyak wang terpaksa dilaburkan kepada minyak dan keuntungan kami masih lagi dalam julat 3% dari jumlah jualan. Sangat sedikit!

Masuk minggu ke dua, apabila kami telah pastikan peraih asal tadi putih mata dan kami telah memonopoli projek mengumpul serai, maka kami letupkan pula harga serai di pasar. Kami beli harga yang mahal kepada orang kampung dan jual juga pada harga yang mahal di pasar. Kami sudah berhenti menjual serai di kedai tomyam. Jika ada pun, hanya jumlah yang sedikit dengan harga yang kurang 30 sen dari harga di pasar.

Pada saat ini, atoklah yang paling seronok. Game monopoli ini menjadi. Setiap peniaga, pekebun (orang kampung), peraih dan penjual untung pada kadar yang sama. Maka sepatutnya tiada lagi unsur penindasan antara mereka.

Ini adalah beberapa kisah dari kisah-kisah menarik dalam hidup ayah. Anak ayah ambillah sebagai pengajaran. Selagi ada kudrat, selagi itu hidup harus berjasa. Harus berusaha mencari rezeki.

Mungkin dizaman anak ayah nanti, takkan ada lagi klasikal liberalism seperti ini. Maka tuntutlah ilmu. Carilah pengalaman. Dapatkanlah nasihat dari sesiapa pun yang anak ayah jumpa. Kerana nasihat dan pengalaman itu umpama bekal dalam perjalanan anak ayah sebagai musafir menuju cinta abadi tuhan. Manalah tahu nanti kelaparan. Sekurang-kurangnya ada bekal :)

- Ayahanda Afif Nasir - 

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin