Assalamualaikum. Anak ayah apa khabar?
Ayah dan bonda dah setuju namakan kamu sebagai Huzaifah Husaini. Mungkin pada tulisan lain, ayah akan ceritakan kenapa nama ini dipilih. Untuk tulisan kali ini, ayah cuma mahu sentuh tentang sambutan ulang tahun kelahiran. Bahasa mudahnya sambutan 'birthday'.
Ayah harap, anak ayah ini tidaklah hanyut dalam dakyah menyambut ulang tahun kelahiran dari sudut material. Kenapa material? Kenapa sebuah sambutan ulang tahun kelahiran pada satu sudut pandang bersifat material? Apakah itu material?
Jangan risau. Biar ayah hurai perlahan-lahan. Ayah yakin. Anak ayah ni bijak orangnya..
1. Material
Material ini tafsiran secara literalnya adalah kebendaan. Sifat material adalah sifat kebendaan. Juzuk yang mampu diukur dan dicerap. Ia adalah wujud secara fizik. Contohnya, kereta, kemewahan, beg tangan, jam tangan dan lain-lain. Ia sifat materi. Lawan bagi sifat material adalah non material. Bermaksud, selain dari kebendaan. Boleh jadi mampu dicerap, boleh jadi tak mampu dicerap (metafizik). Contoh kematian, pengalaman kerohanian dan lain-lain.
2. Kenapa sambutan ulang tahun pada skala majoriti, hanya dilihat pada sudut pandang materi?
Sepanjang hidup ayah, ayah bertemu ramai orang. Bertemu macam-macam ragam. Ulama, tidak ulama, liberal, sekular, atheis, agnostic, deis dan pelbagai lagi manusia. Paling sedih adalah golongan ustaz yang menyambut hari lahir dengan mendambakan hadiah. Hadiah inilah pada pandangan ayah bersifat materi.
Lama kelamaan, hadiah merupakan satu perkara yang signifikan apabila kita sebut tentang sambutan hari lahir. Kalau tidak hadiah pun, sekurang-kurangnya sebuah ingatan berbentuk ucapan atau tulisan yang mendoakan supaya kita panjang umur dan murah rezeki.
Anak ayah,
Kau perlu tahu bahawa hakikatnya dunia ini hanya pinjaman. Kita ini hidup ada awalan dan ada akhiran.
Bahasa paling mudah adalah, sebenarnya, setiap kali kita bertemu dengan hari lahir atau menyambut hari kelahiran, bermakna umur kita semakin meningkat. Hakikatnya, kita sedang mendekati kematian. ya anakku! Kematian sedang menunggu! Apakah logik akal, kematian yang memisahkan kehidupan kita dari dunia materi kepada dunia non materi, malah kita sambut dengan kegembiraan dan hadiah-hadiah serta doa-doa bersifat materi? Ayah tak pasti, samada kita semakin hilang waras, atau kita sudah semakin tidak takutkan hari pembalasan dan semakin cintakan dunia.
Anak ayah..
Bukan niat ayah nak halang kau untuk meminta hadiah setiap kali tiba hari kelahiranmu. Tapi, ayah mahu kau faham bahasa substansi hubung kait manusia-kematian-tuhan itu sudah semakin hilang dari kefahaman manusia. Kita semakin cintakan dunia. Kita semakin lalai dengan kemewahan. Kita semakin lupa awalan dan akhiran kita. Ini yang ayah harap tidak berlaku pada kau anakku.
Ayah sangat-sangat berharap, kelak kau semakin dewasa, dunia materi ini kau lihat sebagai sebuah asbab untuk kau bahagiakan orang lain. Jika kau punyai wang, maka berkongsilah. Jika kau mempunyai makanan, maka berkongsilah walaupun dengan seekor kucing. Jika kau punyai kegembiraan, kongsikanlah kegembiraan itu, semoga dengannya, kau mampu ukirkan satu senyuman pada wajah orang lain..
Bayangkanlah anakku..
kita lebih pentingkan hadiah pada hari kelahiran, hasil pemberian orang lain, berbanding kita mengeluarkan sedekah demi untuk amalan kita selepas mati nanti.
Kita lebih mahu ucapkan ucapan selamat kepada mereka yang menyambut ulang tahun kelahiran. Sedangkan, yang melahirkan mereka adalah ibu-ibu mereka dengan susah payah. Kemudian membesarkan pula mereka, sehingga mereka mampu menyambut hari ulang tahun setiap tahun. Jasa sang ibu dan ayah itu langsung, bahkan dilupakan terus. Harus tetap fokus kepada si penyambut hari ulang tahun.
begitulah dunia dizaman ayah. Ayah tidak pasti dizaman anak ayah ini nanti macam mana. Mungkin budayanya sudah berubah, atau semakin teruk. Moga anak ayah terhindar dari fitnah yang memburukkan diri dan merosakkan diri. Hidup harus bijak mencari teman. Juga harus bijak merangka rencana. Maka tuntutlah ilmu. Carilah pengalaman. Dapatkanlah nasihat dari sesiapa pun yang anak ayah jumpa. Kerana nasihat dan pengalaman itu umpama bekal dalam perjalanan anak ayah sebagai musafir menuju cinta abadi tuhan. Manalah tahu nanti kelaparan. Sekurang-kurangnya ada bekal :)
- Ayahanda Afif Nasir -
0 comments:
Post a Comment