Surat Untuk Anak Siri 3

Assalamualaikum anak ayah..

Harapnya, sekarang anak ayah sudah boleh membaca dan boleh berfikir dengan kritis atas tulisan ayah. Ya. Ayah tahu. Walaupun tulisan ayah sendiri tidak ilmiah, tapi ayah cuba untuk menulis. Harapnya, sewaktu tulisan ini dibaca, ayah masih sedang membesarkan anak ayah dan masih mendidik anak ayah dengan penuh kasih sayang.

Mungkin terkadang ayah ada marah-marah. Mungkin terkadang ayah ada pukul-pukul. Tapi duhai anakku, ketahuilah bahawasanya, ayah sedang mencuba yang terbaik dalam perjalanan mendidik kamu.

Ayah dan bonda bernikah pada usia muda. Kami masing-masing sepakat untuk terus bersama. Mungkin ia adalah pilihan bijak atau sebaliknya, biarlah masa yang menentukan. Ia bergantung bagaimana ayah mengemudi kepimpinan dalam keluarga kita.

Anakku..

Pada asalnya, pernikahan ayah dan bonda ini bersyarat. Kami dilarang untuk memiliki anak sebelum bonda kamu habis belajar. Ketika kisah ini ditulis, bonda kamu masih memerlukan satu tahun untuk habiskan waktu belajarnya. Dan sewaktu kisah ini ditulis juga, kamu sudah pun 6 bulan dalam kandungan bonda, dengan anggaran berat sudah lebih 1kg.

Memang kami sendiri merancang untuk tidak punyai anak pada tempoh awal perkahwinan. Tunggu sehingga semuanya stabil. Kewangan, pendidikan, kerja, tempat tinggal dan segalanya sudah tersedia, maka baru kami merancang untuk memiliki seorang anak. Tapi anakku sayang.. Perancangan Allah, tiada siapa yang mampu halang.

Bonda bunting pelamin. Benda yang paling ditakuti telah membuatkan kami terkedu.

Masih ayah ingat waktu itu, ayah menangis. Bukan menangis sedih. Tapi menangis gembira. Ya.. Mungkin kami merancang untuk tidak punyai anak pada awalnya. Tapi jauh disudut hati ayah, ayah mahukan seorang anak. Seorang anak lelaki. Bahkan sebelum bernikah dengan bonda, nama kamu sudahpun ditentukan oleh ayah.

Selepas menerima berita dari bonda, kami sendiri takut untuk beritahu kepada nenek kamu. Tapi Tok Umi dan Atok kamu sentiasa berikan sokongan dan galakan. Cumanya, nenek kamu...

Ayah masih ingat, ayah kaget masa tu. Ayah jadi kabur dengan perancangan yang sepatutnya. Maka, waktu itu, prioriti yang paling penting adalah bersikap jujur dengan nenek.

Waktu raya haji tahun 2014, ayah dan bonda merancang bawa ibu berjalan-jalan ke Cameron Highland. Mungkin ia boleh jadi pelembut hati nenek waktu disampaikan berita bahawa anak perempuannya yang masih belum habis belajar dan belum pun kokoh perkahwinannya, kewangannya dan pelbagai lagi, sudahpun mengandung!
gambar tak ada kaitan dengan cerita

*hobi ayah memang suka letak gambar tanpa ada kaitan dengan cerita pun. haha

Selepas pulang dari Cameron Highland, kami masih merahsiakan perkara ini. Atas alasan, tunggu nanti ayah bertukar tempat kerja ke Selangor.

Oh ya. Waktu itu, ayah masih bertugas di Kangar Perlis.

Tiba satu hari, datang sepucuk surat yang membuat hati ayah dan bonda luluh. Surat dari pihak kementerian yang mengarahkan ayah melapor diri ke Sabah. Bonda kaget. Ayah masih dalam keadaan terkejut. Perasaan bercampur baur waktu itu. Ayah loss terus. Ayah hilang pertimbangan.

Ayah waktu itu seperti orang cacat otak. Bersembunyi didalam gua. Menghubungi pihak kementerian di Sabah untuk penempatan. Sehingga, akhirnya nenek kamu meminta ayah menghubungi pihak kementerian di Putrajaya.

Bonda waktu itu sudah tak senang duduk. Sudahlah mengandungkan kamu. Terpaksa pula berpisah dengan ayah dengan jarak yang sangat jauh. Sudah tentu nanti bonda terpaksa harungi sakit perit mengandungkan kamu keseorangan..

Masa itu, bonda mengambil langkah penyudah dengan menghubungi nenek kamu dari rumahnya di Shah Alam. Bonda ceritakan semuanya. Esak tangisan hiba menerima teguran dari nenek berterusan. Ayah di Perlis sedang cuba mendapatkan penangguhan pertukaran ke Sabah.

Ayah ambil langkah membuat surat rayuan kepada kementerian. Aturan tuhan..Hari itu juga segalanya selesai.

Ayah emailkan surat itu pada bonda satu salinan dan ayah poskan dengan khidmat pos laju sebagai satu salinan. Bonda terlebih bijak anakku sayang. Bondalah penyelamat situasi ini. Bonda menghantar surat itu terus kepada pengarah dan juga bahagian sumber manusia secara 'by hand'..

Tidak sampai pun tempoh 24 jam, ayah dapat panggilan dari Putrajaya bahawasanya penangguhan itu berjaya dan ayah diminta laporkan diri ke Selangor.

Tenang. Saat itu semuanya tenang. Ayah kemaskan barang di rumah dan ayah bersedia untuk kembali berada disamping bonda..

Ini adalah beberapa kisah dari kisah-kisah menarik dalam hidup ayah. Anak ayah ambillah sebagai pengajaran. Selagi ada kudrat, selagi itu hidup harus berjasa. Harus berusaha mencari rezeki. 

Ingat pesan ayah. Tuntutlah ilmu. Carilah pengalaman. Dapatkanlah nasihat dari sesiapa pun yang anak ayah jumpa. Kerana nasihat dan pengalaman itu umpama bekal dalam perjalanan anak ayah sebagai musafir menuju cinta abadi tuhan. Manalah tahu nanti kelaparan. Sekurang-kurangnya ada bekal :)

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin