Sejak kecil saya diajar bahawa sultan itu institusi mulia. Saya diberitahu bahawa sultan ada daulatnya. Sultan ada tulahnya. Jika tidak menghormati sultan, kita boleh ditimpa musibah. He...takutnya rasa. Tapi dalam dok takut-takut tu...waktu sambutan Jubli Perak Sultan ke atau Keputeraan Sultan ke...ada juge kawan-kawan sebut... “Daulat Tuanku...Bulat Tuanku...” Peliknya, hingga ke hari ini mereka itu semuanya hidup sihat je, tak ada yang kena tulah pun.
Saya suka membaca kisah rakyat. Orang putih kata fairy tales. Biasalah, jika orang putih glamer dengan Prince Charming-nya dan Cinderella-nya. Orang Melayu pula macam-macam versi. Kisah sang puteri terkena sumpahanlah, kisah anak orang kampung miskin yang akhirnya dapat menghilangkan sumpahan itu, kemudian mengalahkan ahli sihir dan akhirnya diterima menjadi menantu raja. Happy ending memanjang. Dalam diam, saya menyimpan hasrat untuk menjadi seperti itu...merasa kahwin dengan seorang puteri jelita dan tinggal di istana lalu...happily ever after...
Opps...rupa-rupanya itu semua hanyalah khayalan semata. Kita dibuai mimpilah jika mahu dapat kahwin dengan puteri raja. Jangankan puteri raja, anak perempuan tukang basuh di istana pun belum tentu...he...he...
Saya tak berapa kisah sangat fasal sultan. Iya, kerana sepanjang kira-kira 30 tahun lebih hidup di atas dunia ini, sekali pun sultan tidak pernah datang berjumpa saya, ibu bapa saya, atuk nenek saya, moyang saya malah...
Saya tak pernah merasa sesen pun wang dari sultan. Okaylah...sultan terlalu sibuk memerintah, walaupun mereka hanya tinggal kuasa dalam urusan agama, itu pun mereka wakilkan kepada orang lain juga, tapi mereka sibuk...namun, tiada seorang pun wakil istana yang turun ke bawah dan meninjau masalah rakyat jelata. Tak pernah pun saya merasa sesen wang dari wakil istana, secara peribadi. Bertanya khabar. Bertanya perihal pelajaran saya. Apa cita-cita saya. Ada tak ada pun, bila Ramadan dan Orang Besar atau Orang Kaya Daerah buat jamuan...barulah saya merasa seceleh wang dari kerabat istana.
Jika anda membelek kitab sejarah, Tanah Melayu asalnya tiada sultan. Parameswara yang tercampak jauh dari seberang menapak di sini dan akhirnya diangkat menjadi raja dan bermulalah era kesultanan Melayu. Itu yang berkembang hingga ke Perak.
Jika anda rajin menelaah Kitab Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang (Bukan Tun Dr Mahathir ya...), lagilah powernya asal-usul raja-raja Melayu. Kononnya turun dari kayanganlah dan sebagainya lagi.
Namun yang menariknya, di dalam kitab Melayu itu ada disebut tentang waadat, iaitu perjanjian di antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun. Iaitu waadat bahawa raja apa peranannya dan rakyat apa peranannya.
Jika anda rajin lagi menggodek beberapa buku sejarah, anda pasti terjumpa kisah Laksamana Bentan dengan insiden Sultan Mahmud Mangkat di Julang. Dari sejarah itulah terbitnya pepatah ‘Raja adil raja disembah; raja zalim raja disanggah.’ Seorang penulis muda Sdr Faisal Tehrani ada membicarakan isu ini dan beliau membayangkan, itulah minda revolusioner Melayu yang telah muncul jauh lebih awal dari Revolusi Peranchis di Eropah!
Alamak...panjang berjelanya mukaddimah saya.
Sebenarnya, apa yang saya nak paparkan...dalam kehidupan kita rakyat biasa atau lebih teruk rakyat marhaen...kewujudan sultan tidaklah begitu memberi kesan. Sebab itu saya nyatakan, berapa ringgitkah wang saku sekolah yang pernah kita terima daripada pihak sultan? Yang ada...para sultanlah yang menerima elaun bulanan yang beribu-ribu nilainya. Dari mana wang elaun itu datang...? Ya, dari poket rakyatlah. Cukai yang dibayar saban tahun. Juga dari hasil-mahsul negara ini seperti balak, minyak dan sebagainya...
Sultan yang saya kenali sejak kecil hingga saat ini, amat jauh dengan apa yang saya dambakan dalam kotak kecil imaginasi saya. Sultan yang adil, sentiasa memerhati masalah rakyat bahkan pada dirinya wujud sentimen yang sagat rapat dengan rakyat jelata.
Sultan seperti Mansur Syah atau Alaudin Riaayat Syah, yang sanggup meronda malam mencegah kecurian. Atau sebaik Sultan Muhammad al-Fateh di Turki yang menyamar sebagai rakyat miskin demi meninjau senario kehidupan rakyat jelatanya. Semua sultan ini adalah sultan yang terlalu ideal mungkin....namun, mereka sudah berjaya membuktikannya.
Sultan sepatutnya perlu dekat dengan nadi dan detak jantung rakyat. Rakyat terkesima dengan kereta sultan yang hitam menjalar. Mak ayah saya di kampung hanya mampu bermotosikal cabuk, mereka turut terkesima apabila siren polis berdengung meminta laluan demi kelancaran kereta sultan. Mereka menelan liur melihat kemewahan yang terbuntang di depan mata. Hajat di hati teringin juga menatap wajah kesayangan sultan’ tapi cerminnya gelap pula. Maka, jadilah mereka melambai dari jauh...sedang sultan di dalam entahkan jaga entahkan lena...
Mungkin tulisan ini dianggap tidak menyebelahi sultan. Tak apalah, saya bukan ada apa-apa kepentingan pun. Sama ada saya memuji sultan atau sebaliknya, hidup saya tetap seperti ini. Saya perlu bangun seawal 3 pagi untuk menyiapkan diri, berkejaran di lebuh raya ke pejabat, kemudian petangnya bersesak dalam komuter dan LRT lagi sekali. Saya tak merasa dijemput dengan limousine hitam berkilat dan diiringi polis bersiren garang.
Ah...siapalah saya....di sisi Tuanku. Ampun Tuanku...mohon hidayah mengiringi kita semua, kerana di sisi Allah...kita adalah makhluk-Nya yang hina jua.
dipetik dan di ciplak dari Huzaifah view (jangan mara ha...)
0 comments:
Post a Comment