Cengkerik

Sejuk,
Nyaman,
Damai,
Tidak mampu mendiamkan hati yang resah.

Nada itu berbunyi lagi,

Merawang gemersik alun nan pekik,
Menikam mematah mencarik merejam racun di tangkai hati yang rapuh,
Jasad busuk comot jijik jauh dari wangi.

Nada itu meninggi,
Menyeru memanggil menggamit rumpun tenang pinggir kolam hati,
Merayu memujuk menahan dari rintih,
Luka terbuka pedih.

Riang tawa sedih duka kecewa juga euphoria nada cengkerik,
Tak ada manusia pernah mengerti bahasa nyanyian mereka.

Bulan Biru

Bulan itu masih biru,
saat sensori pneumotaxic dan apneustic menyambut restu,
helaan kembang dada berlagu,
separa kaku tubuh layu,
hormon pemaksaan elak keserakahan tubuh keletihan,
melatonin bekerja parathyroid beraja.

Tuhan.

Kau izinkan tubuh terjaga saat selimut mendakap manja,
masih lagi sisa nyawa berbaki walau malam semakin sepi,
sayang apa cuba kau beri pada tubuh laknat peminta simpati ini?
cinta apa kau tabur pada sosok hina tidak jujur?
Sehingga setiap hafaz dan lafaz, lena dan jaga, degupan masihku rasa?

Tuhan.

Apakah kau mengharap sayang yang sama dari tubuh laknat pembuat onar?
Apakah kau damba cinta yang serupa dari sosok hina jauh sedar?

Tuhan.

Bulan itu masih biru saat pineal menyeru melepaskan lelah di kamar resah,
Bulan masih biru saatku dendangkan lagu merayu.

Kasih ku damba terus-terusan.
Cinta ku harap terzahir berpanjangan.

Bulan masih biru.
Sedang engkau tetaplah engkau,
Dan aku tetaplah aku.

Dendang ratapan cinta,
bergendang harapan rindu,
Irama tangisan sayang.

Permudahkan lah, Tuhan.

Bulan masih biru.

Generasi Ghuraba'

Islam datang dalam keadaan asing dan kelak nanti akan menjadi asing. Maka beruntunglah mereka yang asing itu.

Bila ada kenyataan yang pelik dari beberapa alim islam, ia seakan asing dari pandangan majoriti islam yang lain. Jadi adakah harus diikuti keterasingan itu?

Imam An-Nawawi berpendapat bahawa Ulama sepakat hukum bunuh kepada orang murtad. Tapi Dr Taha Jabir kata tidak pernah berlaku ijma' dalam hukum bunuh orang murtad.

Harus ikut keterasingan mana?

Sebagai contoh lebih kontemporari, Dr Yusuf Al-Qardhawi ada keluarkan kenyataan dan mengecam shiah. Berbeza pula dengan Haji Hadi yang ada bau-bau membela shiah.

Harus ikut keterasingan yang mana?

Ustaz Fathul Bari ada keluarkan kenyataan isu Mesir. Tapi UFB dibantai pula oleh DrMAZA.

Harus ikut keterasingan mana?

Pergolakan pemikiran Islam terus berlaku apabila masing-masing aliran claim bahawa merekalah yang asing itu.

Tapi barat, cina dan eropah terus menggunakan turats-turats islam demi penerokaan ilmu baru.

Tidakkah mereka juga sebahagian dari keterasingan?

Mungkin Kau Lihat Benci

Mungkin kau lihat benci.

Gembira itu disentap malah ditarik dan dicarik,
Mungkin angkara aku, mungkin angkara kau,
tapi siapa tahu?
Kebenaran itu tidak mutlak selagi ia melibatkan kau dan aku,
atau dia.

Mungkin kau lihat benci.

Seawal hari aku gembira,
Tidak kesampaian petang aku bahagia,
Mungkin salah dia dan kita,
atau mungkin mereka.
Tapi kebenaran itu tidak pernah mutlak selagi melibatkan dia dan kita,
atau mereka.

Sudahlah dengan melihat benci.

Aku, kau, kita, dia dan mereka masih belajar,
Sentiasa salah dan silap menjadi dasar,
Sentiasa mahu di didik,
tapi apakah kita pendidik?
Sentiasa mahu belajar, tapi apakah kita berjiwa pelajar? atau pengajar?

Manusia tidak sempurna,
Doif dan tidak pernah qadim atau mutlak.

Sudahlah melihat benci.

Duhai Bidadari

Berat mata, Berbalam kelam saat terbuka dari pejam, Kau tidak kelihatan sejak sinar mentari tadinya suram,
Dada ku yang sering menjadi bantal tempat kau beradu, terasa kosong tanpa rambut harum mu mengisi,
Sempit sesak tertahan air mata sendu berpuisi, Sunggu aku merasa rindu, Rindu dalam kafi tanpa kocak kedu.

Sayang,

Maunya mimpi ini ku tulis dan lukis, Kelak nanti lakarannya menjadi tebing tanpa hakis, Terjual berjilid cerita nangis.
Lenggok tari pencakmu menghiasi tubir mata,
membungkam hanyut ke lautan mimpi sepi,

mati yang tidak pasti kembali.

Anak Melayu di Hambakan Oleh Melayu

Assalamualaikum

Hidup tidak pernah seperti apa yang kita mahukan.

Fazli adalah seorang anak muda lepasan SPM yang tidak lagi ingin melanjutkan pelajarannya kerana mahu membantu keluarga mencari pendapatan. Dia telah bekerja dengan seorang taukey melayu yang menjalankan perniagaan menguruskan bendang-bendang orang kampung. Syarikat taukey ini memiliki mesin padi sendiri, alat pembajak dan sebagainya.

Fazli bekerja sebagai pemandu mesin padi. Setiap hari, Fazli akan bangun awal dan keluar untuk bekerja sebelum matahari terbit. Dia akan menerima arahan dari taukey melayu tadi untuk menuai hasil padi seperti yang telah diminta oleh pelanggan. Fazli adalah seorang pekerja yang rajin dan tidak suka untuk mencuri tulang apabila sedang bekerja.

Jika Fazli sakit, Fazli tidak akan pernah melayan sakitnya, malah sanggup untuk bekerja walaupun sedang demam kerana takut gajinya akan dipotong. Fazli telah bekerja dengan taukey melayu ini hampir 2 tahun. Gaji yang telah ditetapkan oleh taukey ini kepada Fazli adalah sebanyak Rm600 sebulan. Tetapi, gaji yang Fazli terima setiap bulan hanyalah Rm550 sahaja daripada taukey melayu ini, dengan alasan, Rm50 baki gajinya adalah untuk simpanan. Jika Fazli perlukannya, dia perlu meminta dari taukey melayu ini.

Pernah satu ketika, satu-satunya kenderaan Fazli untuk ke tempat kerja iaitu motosikal Modenas Kriss secondhand yang dibeli sendiri oleh Fazli secara ansuran telah rosak. Fazli amat memerlukan duit untuk membaiki motosikalnya. Fazli telah meminta taukey melayu itu wang simpanan yang telah disimpan semenjak bulan pertama Fazli bekerja. Taukey melayu ini, aku tak pasti dimana tahap kejahilannya tentang motosikal yang perlu di overhaul, telah memberikan Fazli hanya Rm50. Dengan alasan, overhaul moto tak sama dengan overhaul kereta. Kos sebenar yang diperlukan untuk membaiki motosikal Fazli adalah sebanyak Rm450. Fazli akhirnya, terpaksa berhutang dengan taukey bengkel motosikal sebanyak Rm400 dan Fazli berjanji akan membayar sebanyak Rm50 setiap bulan.

Fazli takut untuk lawan taukeynya kerana, taukeynya adalah seorang pencen tentera yang garang dan selalu saja bersikap totalitarian tanpa boleh dibawa berdiskusi.

Raya tahun lalu adalah raya terakhir Fazli bekerja dengan taukey melayu ini. Mana tidaknya, Fazli yang kesempitan wang, mahu membantu adik dan ibunya untuk membeli baju raya dan kelengkapan raya, hanya dibekalkan Rm150 sahaja oleh taukey melayunya itu. Akibat kemarahan yang membuak, Fazli tidak lagi datang kerja sehingga perjalanan syarikat taukeynya tergendala. Taukey melayu bebal ini telah datang ke rumah Fazli dan memaki Fazli seperti hamba abdi dan menyerang ibu Fazli dengan kata-kata nista.

Fazli dituduh penyebab kerugian pada syarikat. Akibat kemarahan yang melampau, Fazli telah menghalau taukey melayu ini dengan parang. Fazli secara rasminya telah berhenti kerja dengan taukey melayu ini.

Setelah 2 tahun bekerja, layanan yang diterima oleh Fazli dari taukeynya hanyalah seperti abdi yang meminta sedekah. Sedangkan, duit simpanan Fazli pada taukeynya sudah lebih dari seribu ringgit tidak pernah dipulangkan oleh taukeynya.

Sepanjang tempoh 2 tahun bekerja, Fazli sebenarnya sudah mahir untuk mengendalikan jentera mesin padi dan jentera pembajak yang lain. Malah, Fazli sudah mahir untuk berbendang!

Satu hari, datang taukey cina menawarkan Fazli kerja. Kerjanya masih sama seperti kerjanya sebelum ini. Mengendalikan mesin padi dan jentera lain. Fazli yang masih fobia menjadi kuli dan dalam masa yang sama memerlukan wang untuk menyara keluarganya, terpaksa juga terima tawaran kerja dari taukey cina ini, walaupun dinasihat rakan-rakan supaya ditolak atas alasan, cina selalu menipu.

Gaji yang diberikan oleh taukey cina ini lebih lumayan. Fazli diupah Rm1200, tidak termasuk elaun makan dan kesihatan. Taukey cina ini, mencadangkan Fazli untuk membuka satu akaun bank khas yang nanti, kad bank dan buku bank itu akan disimpan oleh taukey cina ini. Akaun ini berfungsi untuk menyimpan wang Fazli sebanyak Rm100 setiap bulan yang akan dipotong dari gaji Fazli. Sama seperti yang dilakukan oleh taukey melayu, cuma kali ini, akaun itu adalah atas nama Fazli! Ia ibarat simpanan EPF.

Taukey cina ini sangat pemurah kerana, setiap kali Fazli tidak sihat, maka Fazli akan dibenarkan untuk menerima rawatan yang akan ditanggung sepenuhnya oleh taukey ini.

Selepas setahun bekerja, Fazli telah dibawa oleh taukey cina ini ke satu kedai kereta terpakai. Fazli diminta untuk memilih kereta yang dia mahukan dibawah harga rm20,000. Kereta ini, akan dibelika oleh taukey cina ini untuk Fazli, asalkan Fazli tetap bekerja dengan taukey ini.

Fazli sangat gembira.

Taukey cina ini, boleh dikatakan mengeksploitasi kelebihan yang ada pada Fazli, tetapi dengan cara menjaga kebajikan Fazli. Itu lebih baik dari seorang taukey melayu yang telah menghisap kelebihan Fazli, tanpa memberikan apa-apa manfaat.

*kisah benar!

Berbual Dengan Abang Zam

Assalamualaikum

Sekarang, aku dah kena kerja di Perlis. Hampir 3 bulan aku hidup di sini. Antara kawan yang mampu buat aku terpegun dengan kata-kata mereka tak ramai. Sedikit. Entahlah.. Mungkin aku terlalu mengharap pada negeri kelahiran aku ini, yang rakyat negerinya bijak pandai semuanya. Entah kenapa aku mengharap macam tu.

Abang Zam adalah senior aku. Dia juga adalah pemilik bersama sebuah bengkel cat kereta yang yang dibuka bersama kawannya. Abang Zam seorang yang peramah, tak lokek nak berkongsi pengalaman hidup samada suka, duka atau kehidupan seksual yang agak keterlaluan kadang-kadang. 

Lebih kurang pada tahun 2005, Abang Zam terkena 'Prolapsed Interveterbral Disc' yang telah menyebabkan dia tidak mampu lagi membuat kerja-kerja berat. Sejak dari dia di diagnose dengan masalah tulang belakang itu, dia telah diberikan tugasan ringan setiap kali kerja iaitu bekerja dalam 'flexi hour' atau bekerja bermula pukul 5 petang sehingga 12 malam. Kerjanya hanyalah membuat secondary triage kepada pesakit-pesakit yang alami masalah sakit ringan yang tidak terlalu cemas keatas nyawa mereka.

Abang Zam kerja flexi hour untuk tempoh yang lama. Jadi, setiap pagi dia sentiasa akan merasa bosan kerana tiada aktiviti yang hendak dilakukan. Kebetulan, Abang Zam ada seorang kawan cina yang membuka bengkel kedai cat kereta di Kangar. Kawannya itu telah mengajak Abang Zam untuk membantunya di bengkel, kerana kebetulan mereka kekurangan pekerja untuk memastikan kerja berjalan lancar dek pertambahan permintaan perkhidmatan cat kereta.

Abang Zam terima dengan gembira tawaran cina tadi. Mungkin kerana dia bosan atau apa, aku tidak pasti. Hampir 3 tahun Abang Zam kerja dengan cina ini. Dari belajar kikis simen tampal untuk diratakan pada dinding kereta, Abang Zam mula mahir mengetuk dinding kereta yang kemek dan menampalnya dengan simen, sehinggalah kepada mahir untuk menyembur cat. Abang Zam tidak pernah merungut untuk bekerja pada sebelah pagi dan bekerja di hospital ada sebelah petang. Abang Zam malah menganggap apa sahaja yang dibuli untuk dibuat ini, pasti ada gunanya nanti.

Pada tahun 2008, Abang Zam sudah mampu menguruskan bengkel cina tadi dengan cemerlang, sehingga pada akhirnya, Abang Zam buat keputusan untuk membuka bengkelnya sendiri. Abang Zam memberitahu cina tadi tentang niatnya dan cina tadi bersetuju, malah 'mencabar' Abang Zam untuk bertanding secara sihat dalam perniagaan. Cina tadi minta Abang Zam buat yang terbaik supaya nanti, bengkel Abang Zam mampu menyamai hebatnya bengkel cina tadi.

Abang Zam memulakan perniagaan bengkel cat kereta bersama kawan rapatnya yang sudi berkongsi modal dan tenaga untuk membuka bengkel tersebut. Bengkel Abang Zam sekarang sudah sebesar gudang dan mempunyai 10 orang pekerja yang diupah melalui komisen atas setiap kerja yang mereka lakukan. Tiada penindasan hak pekerja dalam perkara ini. Abang Zam sendiri sebagai pemilik bengkel, turut sama buat kerja ketuk, simen dan cat untuk membantu pekerjanya.

Satu kata-kata yang aku yakin ia adalah satu peringatan atau nasihat buat anak muda daripada Abang Zam yang buat aku sangat terkesan ialah,

 "Orang muda sekarang, sanggup kerja di kilang buat sarung tangan, kilang elektronik dan lain-lain kerana lebih selesa dan nyaman kerjanya. Tapi, jarang jumpa anak muda yang nak kerja menjadi kuli tukang buat rumah, kuli kedai tayar cina atau kuli bengkel-bengkel kereta. Apa diorang ingat, selepas 5 tahun kerja dengan kilang buat sarung tangan, diorang boleh buka syarikat sarung tangan kah? Kalau diorang kerja dengan tukang buat rumah, kedai tayar dan lain-lain, sekurang-kurangnya, selepas 4-5 tahun, diorang dah boleh buat kerja itu sendiri dengan syarikat sendiri". 

Bagi aku, apa Abang Zam cakap adalah benar. Buktinya, aku sendiri masa selepas zaman SPM, aku rela ikut kakak kerja di kilang Medipro berbanding, minta ayah hantar aku ke kampung untuk aku kerja tukang buat rumah atau paling tidak, kerja di kedai tayar cina walau sebagai kuli. Sebab, kemahiran itu, akhirnya akan jadi milik diri sendiri. 

Allah lebih tahu.

Ujian Tanda Kasih

Assalamualaikum.

Manusia yang sentiasa berasa senang dengan kehidupan dunia, bermakna dia telah seringkali terbiasa menikmati zon selesa. Zon selesa selalunya membuatkan manusia yang sebelumnya beriman, akhirnya meninggalkan iman dan kasih sayang Allah. Tidak dinafikan yang masih ramai kekal dalam keimanan walaupun zon selesa yang sebelumnya mereka nikmati telah goyang dan bergoncang dan mengeluarkan mereka dari zon selesa itu. Tapi apakah masih ramai boleh merasa tenang dan gembira apabila diberi ujian?

Terbaru, aku berpeluang bersama menyaksikan kesusahan orang yang diberikan ujian dari Allah yang benar mampu menggoncang iman mereka. Ia berkaitan dengan gangguan jin dalam kehidupan mereka. Sering kali ia dikaitkan dengan santau atau sihir yang akhirnya menyebabkan perpecahan dalam keluarga. Ia bertepatan dengan ayat 102 surah Al-Baqarah. Anda boleh rujuk sendiri.

Aku percaya, ujian sejenis ni mampu menggoncang iman kerana, seringkali apabila ujian berlaku, orang yang terkena ujian, mampu melakukan syirik kepada Allah tanpa mereka sedari. Mereka boleh saja berjumpa bomoh, dukun, pawang dan bermacam istilah lain yang merujuk kepada pengamal perubatan yang menggunakan agen paranormal dalam qaedah perawatan mereka. Dan jika perawat berjaya merawat pesakit, pesakit boleh saja mengatakan bomoh sekian sekian atau ustaz sekian sekian telah menyembuhkan mereka. Ia adalah syirik!

Seterusnya penggantungan sepenuh harapan pada tok tok bomoh atau dukun pawang untuk menyembuhkan pesakit sedangkan, dalam ilmu tauhid, pergantungan hanyalah pada Allah! Tiada makhluk yang mampu menyembuhkan jika tidak bersama izin Allah!

Mereka mungkin lupa bahawa, apa yang berlaku adalah ujian dari Allah! Ia adalah untuk mengangkat darjat kita disisi Allah? Bukan kah dengan naiknya darjat manusia, ia adalah tanda kasih sayang dari Allah?

Mari kita membuat renungan ;)

Mimpi Yang Mati Siri II

Aku dan tunang seringkali berkelai. Puncanya siapa, aku kurang selidik. Pernah sekali aku buat perangai dengan dia sampai dia betul betul kecewa dengan sikap aku. Biasa lah, aku  akan meminta maaf kembali. Dah memang salah aku, jadi why not?

Selepas pertunangan aku dan si dia, aku telah dihubungi kembali oleh kawan kawan perempuan yang sangat rapat dengan aku. Salah seorang adalah fiza. Fiza seorang muslimah. Well yeah.. Dia adalah ketua usrah di tempat dia belajar dan suka berdebat dengan aku dari perkara kecil sampai la dalam mazhab aliran pemikiran dan juga politik. Ayahnya seorang penyokong BN tegar! Dan disebabkan aku pernah kutuk bahawa penyokong BN ini semuanya bodoh dan bebal, Fiza mula menjauhi aku. Dan lagi, bila dia telah bertemu dengan jejaka pilihannya, maka, kami officially tidak berhubung langsung.

Apabila aku dah bertunang dan fiza kembali hubungi aku, aku jadi ralat nak beri tahu pada tunang aku pasal fiza dan hubungan kami serapat mana. Tapi, akhirnya aku cerita juga. Aku tahu tunang aku cemburu dan dia banyak menahan sabar untuk itu. Tapi aku malas nak layan. Kalau dilayan, mahunya aku terpaksa tidak berhubung lagi dengan fiza?

tidak! kalau ada orang kata, aku besarkan lagi kawan daripada tunang? Jawapan aku, tak! Sebab, kawan aku, merupakan juga kawan untuk tunang aku. Kalau tunang aku ikhlas terima aku, mesti dia boleh terima kawan kawan aku dan jadikan kawan kawan aku sebagai tempat untuk lebih kenali aku. Tak gitu?

Pergaduhan ngeri aku dengan tunang aku pada suatu hari, apabila aku kantoi hisap rokok dihadapan dia. Aku jadi hilang sabar waktu itu. Malah, aku tidak pernah mahu mengalah dan kekal dengan tahap keegoan aku yang dasyat. Bahkan, sehingga kini aku masih menyesali apayang aku katakan pada dia waktu itu. Menyesal sungguh!

Umi akhirnya dapat tahu akan pertengkaran kami dan nasihatkan aku untuk berbaik dengan dia. Aku jadi tidak senang bila umi cuba mempertahankan dia. Aku merajuk. Hampir 2 bulan aku tidak pernah lagi pulang ke Klang atau hubungi Umi. Ciss! Derhaka sungguh aku.

Umi akhirnya hubungi aku minggu lalu dan katakan dia sudah aturkan perkahwinan aku dengan wanita pilihannya. Dia sudah pun menghubungi tunangku dan memutuskan pertunangan aku dan si dia. Umi juga sudah meminta aku tidak lagi hubungi bekas tunang aku
Aku tiba tiba kaku. Pandangan aku gelap! aku rasa nak tumbang. Sungguh.

Tapi aku tahan sabar dan aku tanya pada umi dalam esak tangis pada waktu itu. Aku tanyakan siapa yang bakal jadi isteri aku yang merupakan calon menantu pilihan lah sangat tu?

Umi jawab selamba~

FIZA!

Aku terkejut bukan kepalang. Jantung aku berdegup laju. Aku hanya mampu berfikir yang masa depan aku sudahpun gelap. Muslimah sewel ni kalau jadi isteri aku, maka huru hara hidup aku nanti. Habis semua benda dia nak debatkan. Habis semua benda dia baling pada aku andai kami bertengkar. Mampus! Aku kaget.
Aku pengsan. Kepala aku terhantung ke bucu dinding dan aku tidak sedar lagi.

Bila aku jaga, aku sangat mengharapkan tunangku berada di sisi aku sebab aku nak minta maaf pada dia kerana terpaksa khianati janji dan sumpah setia yang pernah aku ucapkan dulu. Tapi sebaliknya..

Aku sedar, aku berada dibawah katil dalam keadaan hanya memakai boxer. Keadaan sekeliling gelap gelita tanpa ada sebarang lampu.  Aku cuba sedaya upaya perincikan suasana keliling, sah! sah! memang bilik aku di kolej. Aku berada dibawah katil aku yang penuh habuk dan sejuk. Aku tidak berbaju. Tangan aku meraba raba mencari telefon bimbit tapi tak ketemu. Aku merangkak keluar dari bawah katil dengan kepala otak aku masih lagi pening dengan apa yang aku baru lalui.

Aku memandang screen laptop yang tidak ditutup dan sedang memainkan lagu Bila Orang dah Benci yang dinyanyikan oleh Saleem.

Aku jadi teringat. Aku tertidur selepas letih pulang kerja. Dan, baru aku sedar. Celaka sungguh. Aku bermimpi rupanya tadi. Keh keh keh xD

Puisi Sheikh Jalaluddin Ar-Rumi

Assalamualaikum

Apakah yang harus aku lakukan wahai Umat Muslim?
Aku bahkan tidak mengetahui diri aku sendiri

Aku bukan kristian!
Bukan Yahudi
Bukan Majusi
Bukan Islam

Bukan dari timur mahupun barat
Bukan dari darat mahupun laut
Bukan dari sumber alam
Bukan dari syurga yang berputar
Bukan dari Bumi, Air, Udara, Mahupun Api
Bukan dari singgahsana, Penjara, Eksistensi, Mahupun Makhluk

Aku bukan dari India, China, Bulgari mahupun Saqseen
Bukan dari Kerajaan Iraq Mahupun Khurasan
Bukan Dari dunia kini, atau dunia akan datang
Bukan dari Syurga atau neraka

Aku bukan dari Adam atau Hawa
Taman syurgawi atau Firdaus

Dudukku tidak bertempat
Langkahku tidak berjejak
Baik Raga maupun Jiwaku
Semuanya adalah kehidupan kekasihku

- Sheikh Jalaluddin Ar-Rumi - 

Aliran irfani adalah penerapan perasaan dalam menzahirkan kasih sayang, cinta dan rindu. Takut pada Allah adalah tahap paling asas dalam mencintai tuhan. Kerana, takut pada tuhan adalah seperti yang diajarkan kepada umat islam pada awal perkembangan islam. Patuh adalah tahap asas dan Taat adalah tahap kedua dalam mencintai tuhan.

Tahap tertinggi dalam mencintai tuhan adalah dengan meletakkan kasih sayang kepada tuhan. Merasakan cinta itu adalah cinta abadi selalunya boleh diungkapkan oleh sesiapa tetapi, apakah hakikat mencintai tuhan itu?

Sheikh Jalaluddin Ar-Rumi menzahirkan rasa cinta dan kasih sayang beliau kepada tuhan melalui puisi. Andai mampu kita fahami dan hayati setiap bait kata dari puisi ini, pasti mengalirlah air mata kita.



Mimpi Yang Mati Siri 1

Assalamualaikum

Aku terlalu tertekan dengan apa yang jadi dengan hidup aku kebelakangan ni. Aku selalu bergaduh dengan tunangku. Padahal dia tidak pernah salah dalam setiap pertengkaran itu. Semua pertengkaran berlaku kerana emosi aku yang tak stabil kerana pengurangan nikotin dalam darah (mungkin?) atau mungkin kerana sikap ku yang perengus.

Aku perlukan tempat mengadu selain umi dan ayah atau arif. Tapi aku sekarang jadi malu atau malas nak bercerita pada mereka. Aku malah merasa perlukan satu suara baru dan nafas baru untuk memahami diri aku. Ramai yang minta untuk aku mengadukan perihal masalah yang aku hadapi kepada tunangku. Tapi mana mungkin, kerana setiap kali aku mengadu, ia akan berakhir dengan perdebatan dan pertengkaran. Celaka apakah ini?

Aku yakin, tunangku cuba memahami aku dan cuba mendekati aku dengan jalan psikologi dan dia bukan lah terlalu bodoh atau ego untuk memarakkan pertengkaran. Sebaliknya aku! ya, aku! Aku selalu saja persoalkan tindakan dia dan persoalkan apa yang dia cuba lakukan dan sebagainya.

Pernah satu ketika bila mana aku letih pulang dari tempat kerja, dia cuba hubungi aku dan aku tidak mahu layan. Aku mahu bersendirian menikmati kehidupan aku. Suasana sunyi. Perasaan aku galau tanpa dia. Jadi, aku mulakan untuk berikan sms pada dia. Agak lewat dia sambut dan balas mesej ku. Entah kenapa dan tiba tiba dek kerana kelewatan mesej yang dia balas, hati aku memaki dan menghamun dia tanpa sebab.

Aku akhirnya dihubungi kawan lama sejak aku sekolah dahulu. Ada 3 orang semuanya dan lebih mengejutkan, kesemuanya perempuan. Dahulu, mereka bertiga sangat rapat dengan aku sehinggakan kami dianggap pasangan kekasih kalau aku keluar berdua dengan salah seorang dari mereka. Aku pernah dilabel sebagai kaki perempuan kerana kerap bertukar tukar perempuan. Celaka!. Diorang kawan aku lah bebal!

Tapi, 3 tahun lepas, mereka secara perlahan lahan cuba undur kan kehidupan mereka dari aku seorang seorang. Bermula dengan si pendek yang ganas macam lelaki, aku gelar nama dia Cip kerana lagak seperti seorang ketua. Ya! Dia yang pertama. Pergi tinggalkan aku tanpa ada satu alasan munasabah. Alasannya, boyfriend nya tak bagi dia berkawan dengan aku. Alasan paling bodoh abad ini.

Seterusnya, fiza tinggalkan aku. Aku dan fiza rapat seperti adik beradik. Dia punya seorang boyfriend yang tak pernah hargai dia. Sampai buat dia menangis waktu hubungi aku. Aku tak tahu nak bantu macam mana dan akhirnya, aku ambil jalan kongsi gelap dan hubungi boyfriend dia yang sengal tu dan beri amaran. Damn! aku tersilap langkah. Fiza marahkan aku (agaknya?) dan fiza tak pernah hubungi aku lagi sejak kejadian tu.

Mida yang sangat rapat dengan aku yang pernah orang anggap seperti pasangan kekasih pergi tinggalkan aku saat aku kekurangan masa untuk melayani karenah dan mesej mesej dia kerana terlalu sibuk dengan pelajaran. Dia akhirnya tinggalkan aku. Atau aku yang mulanya tinggalkan dia?

Aku kemudian meneruskan hidup sehingga lah aku bertunang. Ya! Tunang aku adalah wanita paling rapat dengan aku saat ini. Sehinggakan segala masalah aku, tak pernah aku rahsiakan dari dia. Dia mengetahui masalah aku baik dari segi kewangan, kesihatan dan alam pekerjaan. Dialah tempat aku luahkan masalah aku walaupun terkadang, sejak kebelakangan ini, sering terjadi pergaduhan.

Aku penat menulis. Nanti aku cerita lagi.

Rindu Menulis

Assalamualaikum

setelah beberapa lama aku menyepi dari dunia penulisan, aku rasa semangat aku kurang. Sebab aku tak ada tempat untuk suarakan pandangan aku yang kelam ni. Aku suka share idea aku dan dalam masa yang sama, aku suka kalau ada orang bangkang dan jadi pertembungan idea dan akhirnya, berhujjah untuk memberi pandangan yang wajar.

Dengan menulis, aku dapat sampaikan idea aku walaupun aku tau, berapa kerat sangat nak baca. Dan kalau ada yang baca sekali pun, tak ada yang faham. Bahasa aku tak seindah sastera novel walaupun aku sendiri ada impian nak menulis dan mencatatkan travelog perjalanan hidup seorang aku.

Aku teringin dan nak orang kenal aku dari zaman aku belajar dari kecil, belajar mengenal dunia dari mata suci dan mata kegelapan. Yeahh. Aku dah cuba keduanya.

Travelog aku akhirnya tercatat dalam bentuk tulisan yang penuh dengan tapisan dan terdampar dalam blog yang tak ada orang nak baca. Kalau buat buku, tah siapa yang nak beli. Hahaha

Dalam penulisan, terkadang kita boleh noktahkan kalam penanda kerinduan.
Blog Widget by LinkWithin