Didikan Ayah Siri 1

Assalamualaikum

Sejak kecil dulu, ayah telah mula mendidik kami anak anak dia dengan satu ilmu perniagaan yang aku yakin, tak ramai ibu bapa berani ambil tindakan gila ni. Ayah bekerja sebagai seorang penjawat awam. Ada gaji tetap dan rasanya mampu untuk laburkan pada anak anak dia dengan kesenangan. Kesenangan merujuk kepada, apa yang anak dia mahukan, ayah mampu berikan. Tapi, ayah tidak ambil pilihan tu malah sebaliknya, dia mendidik kami anak anak ayah dengan cara yang gila.

Ayah minat berniaga. Dari kecil, ayah didik kami dengan berniaga. Dulu, ayah ada belikan umi oven besar gabak yang macam Eye On Malaysia versi panas membakar. Dan umi akan buat kek pisang, roti roti sosej, dan macam macam jenis roti. Dan ayah sebagai pegawai pemasaran. Ayah akan pasarkan di kantin kantin di kilang kilang dan ada yang ayah akan jual sendiri

Apa yang ayah jual sendiri, ayah akan pimpin tangan aku dengan adik untuk ikut ayah berniaga. Dulu umi ada buat kek pisang dan ayah akan jerit "Quai Kek!! Quaii Kek" maksudnya kek pisang dalam bahasa thai. Ayah akan bawa kek pisang dalam bakul dan bawa kami pusing pusing di medan arked niaga di Padang Besar. Ayah sebenarnya, bukan saja mengajar kami berniaga dan membuktikan yang kalau di Malaysia, hidup meminta minta, sangat sedih dan dalam masa yang sama, ayah mengajar kami untuk bergaul.

Habis semua orang ayah bergaul. Pengajaran paling utama yang kami dapat adalah berkenaan layanan sama rata pada setiap manusia. Asalnya niat adalah untuk melariskan perniagaan. Kerana kalau dah baik dengan semua orang, maka orang tak banyak karenah kalau nak beli barang yang kita jual. Tapi lama kelamaan, amalan ni jadi kebiasaan dan ini lah sikap kami sehingga hari ini.

Sehinggalah bila ayah ditukarkan ke Klang atas sebab karenah birokrasi politik, perniagaan ayah di Padang Besar terhenti. Kami, ayah tinggalkan hampir setahun kerana ayah pindah dahulu ke Klang. Dalam tempoh setahun, macam macam kerja kami buat. Setiap minggu, umi akan bekalkan kami Rm1 untuk beli makanan di pasar malam berdekatan dengan rumah di Kampung Batu 20, dan selalunya kami akan beli makanan yang kami teringin nak makan seperti laksa dan sebagainya. Aku selalu beli laksa sebab makan kegemaran aku adalah laksa!

Tapi, disebabkan dah terbiasa berniaga, satu hari aku dengan perangai gila gila, beli satu keping stiker jenama jenama terkemuka. Dalam sekeping stiker tu pula, ada lebih kurang 10 stiker kecil lain lain jenama. Antara jenama top dulu seperti Nike, Adidas, Puma dan lain lain. Aku bazirkan duit belanja hujung minggu yang takkan umi berikan lagi untuk modalkan berniaga.

Aku bawa balik sekeping stiker tu, dan aku potongkan setiap jenama yang ada dengan corak corak menarik. Aku jadikan pelbagai saiz. Jadi dari sekeping stiker besar, aku telah dapat hampir 10 stiker kecil berlainan jenama dan saiz. Esok nya aku bawa ke sekolah dan tunjukkan pada kawan kawan. Alhamdulillah. Ramai kawan kawan beli dan jualan kali pertama habis. Sekeping stiker kecil tu aku jual 20sen -30sen bergantung saiz. Dan hari pertama, aku telah untung bersih hampir Rm2. Keuntungan 100%. Kerana aku bermodalkan hanya Rm1. Dan aku dapat semula Rm3. Ditolakkan modal Rm1, maka aku untung bersih Rm2.

Bermula dari itu, aku mulakan perniagaan sengal ni tanpa bimbingan siapa. Minggu berikutnya, aku beli lagi dan masih jualkan pada kawan kawan. Tapi hanya mampu bertahan untuk 3 minggu sahaja. Sebab kawan kawan sudah mula bosan dan dah tak tahu mana nak tampal stiker tu. Sebab bahagian tepi meja diorang dah mula penuh.

Jadi aku tukar strategi, aku dah tak beli stiker jenama pelik tu. Tapi sebaliknya aku beli stiker karakter kartun. Aku laburkan Rm3 sekaligus untuk stiker dan aku masih ulang benda yang sama. Potong setiap stiker kecil. Disebabkan aku ni pelik dan selalu berbeza dengan orang lain, kartun kegemaran aku juga berbeza dengan orang lain. Waktu tu tengah top dragon ball. Tapi aku tak minat, aku ambil watak power rangers. Hasilnya, kerugian. Tak ada orang nak beli. Modal lebuh, untung tak nampak.

Tidak berhenti di situ, selepas kami berpindah ke Klang, ayah ajarkan kami untuk belajar cari duit sendiri. Bukan meminta. Sebagai contoh, nak beli buku sekolah, baju sekolah dan sebagainya, ayah tidak terus beli. Tapi ayah akan belikan satu bungkus besar 10kg kerepek pisang, dan umi akan bungkuskan dalam pek kecil untuk di jual sebungkus Rm1. Dan apa yang ayah pernah ajar kami waktu kami masih hingusan, kami ulang semula cuma bezanya, kali ini tanpa bimbingan tangan ayah lagi. Kami bererak sendiri.

Ayah akan bawa kami ke pejabatnya dan kami akan ke pejabat pejabat sekitar dan jualkan kerepek. Ayah ajar waktu waktu strategik untuk mula menjual. Dan alhamdulillah! Kami mampu beli baju sekolah, buku sekolah, bayar bil eletrik rumah, bil air, dan macam macam. Semuanya hasil dari jualan. Umi sebagai akauntan akan beri kami komisen dan kami akan gunakan duit itu untuk belanja. Daripada 10kg kerepek, mampu bayar macam macam. Untungkan?

- Akan Bersambung -

0 comments:

Blog Widget by LinkWithin